'Ibu bapa sekalian, Kelas Pendidikan Khas bukan hanya untuk anak cacat fizikal'


Perkembangan setiap kanak-kanak berbeza-beza. Seawal umur 5 tahun, ada kanak-kanak yang sudah menunjukkan pencapaian yang membanggakan kedua ibu bapa dan guru mereka. Apabila sudah masuk ke sekolah rendah, tidak menjadi masalah untuk kanak-kanak ini menerima segala bentuk pelajaran yang diberikan. 

Selain guru, ibu bapa juga harus memainkan peranan terhadap perkembangan anak-anak.

Guru ini melalui tulisannya di Facebook meminta ibu bapa untuk sentiasa memerhatikan perkembangan anak-anak. Jika tiada perkembangan pada usianya, ibu bapa harus bertindak dengan segera bagi memastikan kejayaan anak-anak mereka. 

SAYANG anak ada caranya. Tiada mak ayah yang tak sayangkan anak. Cuma, kadang tu cara kita menzahirkan kasih sayang sangat berbeza. Ada beza sayang untuk kebaikan anak dengan sayang demi kepentingan diri sendiri.

Kalau ini tulisan anak saya ketika dia sudah berusia 7 tahun, saya akan terus bawa dia ke hospital. Jumpa doktor dan buat pemeriksaan. Mungkin sedari dia berusia 4 tahun saya dah bawa.

Kenapa? Anak yang normal, apabila usianya sudah menjangkau 7 tahun, walaupun dia tak kenal huruf dan masih belum boleh membaca, sekurang-kurangnya dia sudah boleh meniru semula bentuk bentuk huruf.


Tulisan ini ialah tulisan anak berumur 7 tahun. Kami, guru-guru yang mengajarnya memang nampak dan merasakan anak ini istimewa. Dia berhak dapatkan pendidikan di kelas khas iaitu Kelas Pendidikan Khas Integrasi.

Cuma yang menjadi masalah sekarang, ibu ayah yang sayangkan anak tak kena cara. Mungkin mereka terlampau sayangkan anak sehingga 'memaafkan' kesilapan anak ini walau dah berusia 7 tahun.

Ibu ayah sekalian, Kelas Pendidikan Khas bukan hanya untuk anak cacat fizikal. Kelas Pendidikan Khas itu ialah hak untuk anak-anak istimewa seperti anak ini kerana mereka tetap berhak mendapatkan pendidikan seperti anak anak normal yang lain.

Sayang anak biar bertempat. Jangan sayang anak sambil pentingkan status, nama baik dan reputasi anda. Anak ini amanah. Allah hanya beri kepada yang layak.

Tunjukkan yang kita layak dan kita bersyukur dengan pemberian anugerah Allah yang tak terhingga kerana bukan semua insan yang sudah berkahwin dapat merasa.

Sekian,

Luahan cikgu cabuk yang selalu sedih bila anak-anak seperti ini dinafikan haknya mendapat pendidikan yang selayaknya dia perolehi.

Sumber: Miera Wahab