(Video) 'Cakap elok-elok lah, orang tengah minum' - Suspek biadab terhadap penguatkuasa MBPP ditahan polis


Beberapa hari lalu viral di media sosial video seorang lelaki bertindak biadab terhadap anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang menegurnya ingkar terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 7.45 pagi 2 April 2020, suspek berusia 45 tahun itu sedang minum di sebuah kedai makan.

Tidak beberapa lama kemudian, anggota penguatkuasa MBPP datang dan meminta suspek untuk beredar pulang ke rumah serta patuh kepada arahan PKP.

Teguran itu membuatkan suspek bengang, lalu membalas dengan nada yang biadab lagi kurang ajar dan tidak sedar diri. 

Suspek: "Tapau ni.. tapau." 

MBPP: "Pi makan tempat lain, pi makan tempat lain bang. Orang dah bagitau dia dok minum lagi. Pi pi pi." 

Suspek: "Cakap elok-elok lah, orang tengah minum. Cakap elok-eloklah, aku paham bahasa! Sabaq sat, hormat sikit! Hangpa penguatkuasa, uniform."

Tidak cukup dengan itu, suspek mencampak gelas minumannya sebagai tanda protes sebelum menyuruh anggota MBPP teruskan merakam wajahnya. 


Semalam, suspek telah ditahan pada jam 5.30 petang di rumahnya di Jelutong Timur, Georgetown. 

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, suspek sebelum itu cuba melarikan diri tetapi gagal berbuat demikian. 

Siasatan awal mendapati, suspek mempunyai 15 rekod jenayah lampau termasuk kes berkaitan dengan dadah.

Suspek akan ditahan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil dan Peraturan 11 Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020. 

Sumber: Harian Metro