Budak 6 tahun mati kebuluran selepas dikurung dalam almari selama 16 jam kerana mencuri makanan


Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun mati kebuluran selepas dikurung dalam almari oleh keluarganya dan tidak diberi makanan. 

Menurut laporan bedah siasat, mayat mangsa, Deshaun Martinez, hanya mempunyai berat badan 8 kilogram berbanding 20 kilogram bagi kanak-kanak di usia tersebut. 

Ibu bapa mangsa, Elizabeth Archibeque dan Anthony Martinez serta neneknya, Ann Martinez telah didakwa di atas tuduhan membunuh, menculik dan mendera mangsa. 

Pada kejadian Mac lalu, polis menerima panggilan kecemasan dari keluarga berkenaan selepas Deshaun tidak sedarkan diri. Ibu bapa mangsa memaklumkan kepada pihak berkuasa bahawa Deshaun mempunyai masalah kesihatan. 

Bagaimanapun, ibu bapa Deshaun dalam keterangan kepada penyiasat mengaku telah mengurung mangsa dan abangnya di dalam almari selama 16 jam serta hanya memberi sedikit makanan. 

Polis berkata, dua beradik itu dikurung dalam almari sebagai hukuman di atas perbuatan mencuri makanan ketika ibu bapa mereka sedang tidur. 

Laporan bedah siasat juga mengatakan, Deshaun mempunyai sejarah kesihatan yang menunjukkan mangsa mengalami masalah untuk meningkatkan berat badan dan pernah dimasukkan ke hospital selama dua minggu kerana jangkitan di bahagian urinari. 

Elizabeth memberitahu, Deshaun telah diberi makan banyak tetapi berat badannya masih gagal meningkat. 

Pemeriksa Perubatan, Lawrence Czarnecki mengesahkan Deshaun mati akibat kelaparan yang sekaligus menjadi kes bunuh di mana keadaan mangsa sangat kurus sehingga menampakkan tulang kerangka dan hampir tiada lemak badan, selain matanya tenggelam dan mempunyai lingkaran hitam. 

Elizabeth dan Anthony serta Ann Martinez bagaimanapun tidak mengaku bersalah di atas semua pertuduhan tersebut. 

Sumber: Metro.uk

Post a Comment

0 Comments