'Gaduh pasal hal rumah tangga rupanya' - Polis tahan lelaki pukul & tolak isteri keluar dari kereta


Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung video tular kejadian pergaduhan menyebabkan suspek menolak isterinya dari dalam kereta dinaiki mereka sehingga menyebabkan wanita itu mengalami kecederaan di Jalan Magazine di George Town semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata pihaknya menerima laporan polis daripada wanita berusia 26 tahun yang bekerja kilang itu sebelum menjalankan siasatan dan melakukan tangkapan ke atas suaminya berumur 31 tahun pada 12.15 tengah malam tadi di Jalan Patani di George Town.

"Berdasarkan siasatan awal, dalam kejadian kira-kira 7.45 malam itu, mangsa menaiki sebuah kereta jenis Suzuki Swift yang dipandu suaminya dan ketika melalui Jalan Magazine telah berlaku pergaduhan antara mereka kerana masalah keluarga.

"Akibat pergaduhan itu telah menyebabkan pintu penumpang hadapan telah terbuka dan mangsa hampir terkeluar dari kereta, kejadian tersebut turut dirakam oleh penumpang sebuah kereta yang berada di belakang kenderaan pasangan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya menurut wanita itu sebaik sampai di hujung Jalan Dr Lim Chwee Leong, suaminya terus menolak mangsa keluar dari kereta dan meninggalkan mangsa di atas jalan sebelum orang ramai membantunya serta menghubungi pihak polis.

Soffian berkata wanita itu mengalami kecederaan ringan di bahagian muka dan mulut akibat dipukul oleh suaminya .Pasangan tersebut mempunyai seorang anak.

Katanya wanita tersebut membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan pada jam 10 malam selepas mendapatkan rawatan awal akibat kecederaan dialaminya dan susulan itu polis menahan lelaki terbabit bagi membantu siasatan.

"Polis turut merampas kereta Suzuki Swift yang dipandu lelaki itu dan siasatan mendapati dia yang tidak bekerja (penganggur) mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah, namun ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah," katanya.

Beliau berkata lelaki itu direman untuk siasatan lanjut bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1997.

Sejak semalam tular satu video sebuah kereta Suzuki Swift dengan pintu bahagian penumpang hadapan terbuka dan kaki penumpang terkeluar serta jeritan seorang wanita sebelum kenderaan tersebut berhenti untuk menutup pintu dan individu yang merakam video itu keluar cuba memberi bantuan namun pemandu (Suzuki Swift) terus memecut laju.

Sumber: Bernama

Catat Komen

0 Ulasan