'Umi, api!' - Rumah hampir terbakar, hos paip tong gas bocor


Walaupun hanya di rumah sendiri, keselamatan juga harus dititikberatkan. Apatah lagi sekiranya kita mempunyai anak-anak kecil di rumah. Ruangan dapur merupakan tempat yang paling dirisaukan. Benda-benda tajam, gas, api dan sebagainya perlu sentiasa diawasi.

Seorang wanita berkongsikan satu insiden kebakaran kecil yang berlaku di rumahnya. Mujur ketika kejadian dia berada di rumah. Hasil siasatan yang dijalankan oleh pihak Bomba mendapati, punca kebakaran adalah disebakan oleh hos wayar gas yang sudah bocor.

Nasib juga menyebelahi mereka sekeluarga apabila mereka ada menyimpan alat pemadam api dan keluarga ini juga telah dibantu beberapa orang lelaki yang kebetulan ketika itu sedang menyiapkan rumah jiran.

DUGAAN hari ini, dapur terbakar. Masa menaip ni pun, debar di dada masih belum hilang. Tangan pun masih ketar lagi.

2.15 petang, Cik Sue tengah tengok TV dengan anak-anak kat ruang tamu. Tiba-tiba Abang Irfan jerit, "Umi, api!". Cik Sue bangkit dan tengok api di dapur belah kiri dah marak sampai ke atas.

Allah je tahu perasaan Cik Sue masa tu. Dengan anak-anak duk main dekat ruang tamu lagi. Dik Hannah duk ralit bergayut kat sofa. Cik Sue cuba tenangkan diri, ingat Cik Sue lupa tutup api. Tapi bila check, dapur tu elok je tertutup.

Masa tu dah start panik. Mujurlah ada dua orang abang tukang yang tengah siapkan rumah kat sebelah rumah Cik Sue ni. Cik Sue jerit sekuat hati minta diorang datang tolong. Air mata dah laju mengalir.

Abang-abang tu berlari masuk dalam rumah. Asap dah tebal dan alarm pun dah berbunyi. Cik Sue masuk dalam bilik tidur, ambil fire extinguisher, terus Cik Sue hulur kat diorang.

Mulanya ingatkan api tu dekat atas dapur tu je. Rupanya bila abang tu buka kabinet, api dah marak menyala kat tepi tong gas! Allahuakbar. Rasa nak pitam masa tengok. Mujur tak meletup!

Abang tu pantas bertindak, terus sembur fire extinguisher tu kat punca api dan lepas 5 saat, api padam. Masa tu, ada bunyi desir kuat kedengaran. Abang yang sorang lagi pun terus tutup kepala gas tu.

Allah masih bagi peluang pada kami empat beranak. Kalau abang tu tak ada, memang Cik Sue tak mampu buat apa. Mampu tengok je. Masa tu, otak tak mampu nak fikir langsung.








Selepas keadaan dah reda, Cik Sue call encik suami sambil menggigil tahan dari menangis. Suami telefon Bomba, dalam 15 minit dia datang. Bila dia check, katanya hos paip tu dah bocor. Gas duk berkumpul bawah kabinet. Bila Cik Sue buka suis elektrik, terus dia spark api.



Katanya lagi, nasib baik rumah Cik Sue dah ada fire extinguisher tu. Kalau tunggu bomba sampai, alamatnya lagi besar api. Silap-silap bomba sampai, rumah dah hangus dijilat api. Dahlah laluan ke rumah kami ni tak ada jalan besar. Hanya ada tali air, jadi jentera bomba memang takkan boleh masuk. Jadi sebagai persediaan sebaiknya wajib ada Fire Extinguisher ni, sebaiknya jenis yang 9 kilogram itu.

Lepas ni, dia pesan suruh beli hos hitam yang bergetah. Katanya walaupun mahal sikit, tapi lebih berkualiti dan selamat sebab dia bergetah, elastik dan tak mudah patah. Bila dah jadi macam ni, Cik Sue dah tak kisah pasal harga. Kalau harga lebih RM1,000 pun Cik Sue sanggup beli daripada tengok satu rumah dijilat api. 



Teringat perasaan masa tengah panik tengok api besar tu. Dalam hati duk jerit, "Allah, bagi aku peluang ya Allah. Aku tak nak mati lagi ya Allah. Aku takut ya Allah. Tolonglah jangan ambil lagi nyawa aku, aku belum bertaubat ya Allah"

Perasaan itu Cik Sue takkan lupa. Takut yang teramat sebab sedar diri ini masih berselut dengan dosa. Semoga pengalaman ini dapat dijadikan iktibar buat sahabat Cik Sue semua.

Sumber: Nur Suhaili

Catat Komen

0 Ulasan