Slider

3 beradik lemas dicampak bapanya ke dalam terusan selepas mengesyaki isterinya curang


Seorang penjual jus buah-buahan ditahan selepas didakwa mencampak tiga anaknya ke dalam terusan berhampiranb kampung Kulvehri di Daerah Karnal, India, pada Isnin lalu ketika berada di bawah pengaruh alkohol. 


Meskipun pasukan penyelam telah dikerahkan ke lokasi kejadian untuk mencari mayat ketiga-tiga mangsa yang berusia dari tiga hingga lapan tahun itu, masih belum berjaya ditemui. 


Lapor Hindustan Times, suspek yang dikenali sebagai Sushil Kumar dari kampung Nalipur itu terdahulu bertengkar dengan isterinya pada petang hari kejadian. 


Suspek kemudian keluar menunggang basikal dan membawa bersama tiga anaknya, Dev, 3, Jhanvi, 5, dan Shiv, 8, sebelum dicampak ke terusan itu seorang demi seorang. 


Setelah melakukan jenayah itu, suspek pulang ke rumah dan memberitahu keluarganya. Sebaik saja kejadian itu diketahui oleh penduduk kampung, mereka cuba menyelamatkan kanak-kanak terbabit. Malangnya gagal berbuat demikian.


Sementara itu, sumber yang lain melaporkan tabiat suspek yang suka minum arak menjadi punca pertengkaran pasangan itu yang membuatkan suspek nekad mencampak tiga anaknya ke terusan sehingga lemas. 


Menurut saksi yang juga jiran keluarga itu berkata, mereka ternampak suspek membawa tiga anaknya itu dan cuba mengejarnya. Seorang petani yang berada berhampiran lokasi kejadian terdengar suara tangisan mangsa dan cuba menghentikan suspek, tetapi tidak sempat dan suspek telah mencampak anak-anaknya ke dalam terusan. 


Soal siasat mendapati, suspek mengaku membunuh tiga anak kandungnya itu dan menjelaskan dia terdahulu bertengkar dengan isterinya kerana mengesyaki wanita itu menjalinkan hubungan dengan lelaki lain di belakangnya.

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo