Slider

'Beli kereta baharu untuk lancarkan urusan rasmi kerajaan negeri' - MB Kedah


Selasa, 24 November 2020, viral di media sosial gambar kira-kira 12 buah kereta Honda Accord berharga RM187,050.73 (seperti yang tertera dalam katalog) yang dikatakan telah dibeli oleh Kerajaan PAS Kedah. 


Pembelian kereta itu menimbulkan tanda tanya netizen, apakah wajar kerajaan negeri membeli kereta baharu sedangkan rakyatnya sudah bergelut dengan masalah kewangan di kala pandemik ini. Selain, mempersoalkan mengapa kerajaan negeri tidak memilih produk tempatan iaitu Proton. 


Susulan viral gambar-gambar itu, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, tampil memberi penjelasan dan sekali gus menafikan fitnah yang sedang berleluasa di media sosial. 


Menurut Muhammad Sanusi, 12 kereta Honda Accord 1.5 itu dibeli untuk kegunaan ketua-ketua jabatan di negeri itu di mana ada kenderaan yang telah dibeli oleh ketua jabatan yang terdahulu yang telah berpencen. Disebabkan itu, adalah perlu untuk membeli kenderaan lain untuk menggantikan kereta jabatan berkenaan. 


Selain itu katanya, ada juga kenderaan yang terpaksa dilupuskan kerana kos penyelenggaraannya melebihi 100 peratus dari harga beli. Tidak kurang juga ada jabatan yang keretanya telah melebihi 10 tahun dan kos penyelenggaraannya juga tinggi. 


Selain 12 kereta tersebut, kerajaan negeri turut membeli 11 buah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux untuk kegunaan pelbagai jabatan di negeri itu. 


Alasannya, ada sesetengah jabatan yang langsung tiada kenderaan, malah ada pegawai yang terpaksa menggunakan kenderaan sendiri untuk tugasan luar. 


Disebabkan prihatin dengan masalah tersebut, kerajaan negeri membeli kenderaan baharu untuk jabatan terbabit bagi melancarkan urusan rasminya. 


Paling utama katanya, kelulusan pembelian kereta-kereta itu dibuat dalam Belanjawan Kedah 2020 semasa di bawah pentadbiran menteri besar sebelum ini, iaitu Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir. 


Walaupun begitu, bagi netizen itu bukanlah satu alasan yang boleh diterima kerana mengikut bidang kuasa, Menteri Besar pada masa kini boleh membuat pilihan untuk membatalkan pembelian dan memilih serta membeli kereta tempatan untuk kegunaan kerajaan negeri. 


Sumber: Bernama, Twitter Am Official

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo