Slider

Berang anak menangis tak dipujuk, suami tendang badan & tumbuk bibir isteri


Seorang lelaki yang didakwa menendang dan menumbuk isterinya sehingga mengalami kecederaan dalam kejadian Ogos lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Melaka hari ini. 


Muhamad Arif Aniq Mirza Kamaludin, 24, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah di atas pertuduhan tersebut di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamad Noh. 


Tertuduh yang bekerja sebagai kakitangan pasar raya didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya, Musfirah Mustaaffa, 21, dengan menendang belakang badan, menumbuk bibir dan mengetuk pahanya menggunakan telefon bimbit. 


Muhamad Arif Aniq melakukan kesalahan itu pada jam 6.30 petang, 29 Ogos 2020 di sebuah rumah di Paya Ikan, Bukit Baru. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A akta sama yang memperuntukan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 


Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang baru sahaja selesai bekerja pulang ke rumah dan mendapati anak mereka berusia tiga bulan menangis tanpa dipujuk. Tertuduh kemudian memarahi isterinya sehingga berlaku pergaduhan tersebut. 


Timbalan Pendakwa Raya, Raudhah Mazman mencadangkan jumlah jaminan RM5,000 dengan penjamin adalah isteri tertuduh dengan syarat tertuduh tidak mendekati mangsa sehingga kes itu selesai dibicarakan. 


Namun, peguam tertuduh, Amritpal Singh merayu agar jaimanan boleh dibuat oleh ibu tertuduh kerana isteri anak guamannya tidak dapat dikesan dan bersetuju dengan syarat tambahan diletakkan. 


Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,500 dengan jaminan dibuat ibu tertuduh serta syarat tambahan tidak mendekati mangsa dan perlu melapor diri di balai polis berdekatan sehingga kes selesai. Tarikh 11 Januari 2021 ditetapkan untuk sebutan semula kes. 


Sumber: Sinar Harian

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo