Slider

Libas kepala mangsa guna helmet, lelaki dipenjara 3 bulan


Mahkamah Majistret Jelebu menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan terhadap lelaki yang memukul kakitangan stesen minyak di Taman Sri Chempedak, Kuala Klawang, Disember 2020. 


Muhammad Hidir Malik, 38, dijatuhkan hukuman selepas mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Khir Nizam Jemari. 


Berdasarkan pertuduhan, tertuduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Mohamad Aiman Nasir Abdullah, 20, dengan menggunakan topi keledar pada jam 4.30 petang, 19 Disember lalu. 


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi dan tertuduh pula tidak diwakili peguam. 


Mengikut fakta kes, tertuduh yang bekerja sebagai penunda kenderaan datang ke stesen tersebut untuk mengisi minyak motosikal. Namun berlaku tumpahan minyak menyebabkan tertuduh memarahi mangsa, melempar duit bayaran sebelum bertindak memukul kepala mangsa menggunakan topi keledar.


Tertuduh juga memukul muka mangsa menggunakan tangan sebanyak satu kali sehingga menyebabkan mangsa terjatuh. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo