Slider

Penunggang motosikal maut digilis treler ketika cuba menyelit


Seorang penunggang motosikal berusia 22 tahun maut digilis treler malam semalam selepas tindakannya menyelit di antara dua buah kenderaan mengundang padah. 


Dalam kejadian yang berlaku pada jam 11.15 malam di Persiaran Tengku Ampuan Rahimah, Klang, mangsa, Mohd Azwan Fitri Pinggoi, berasal dari Sabah meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah di bahagian kepala. 


Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan awal mendapati mangsa dikatakan cuba melalui laluan di antara sebuah kereta dan treler. 


Malangnya, motosikal mangsa bergesel dengan bahagian belakang kereta sebelum tercampak ke atas jalan raya. Treler yang berdekatan kemudian mengilis mangsa dan badan mangsa tersepit di bahagian belakang treler.



Bomba yang menerima panggilan berhubung kejadian itu terus bergegas ke lokasi dan melakukan operasi mengeluarkan mangsa yang selesai selepas hampir sejam. 


Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Sumber: Kosmoax

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo