Slider

Pegawai Kementerian Pendidikan Tinggi kerap mengeluh dijatuhkan hukuman mati oleh Kim Jong-Un


Seorang pegawai tertinggi di Kementerian Pendidikan Tinggi yang selalu mengeluh dengan bebanan kerja dan gagal mengadakan panggilan video yang mencukupi, dikenakan hukuman mati oleh pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un. 


Pegawai berusia 50-an berkenaan yang dikenali sebagai Park itu dikatakan tidak berpuas hati dengan kerajaan yang tidak menyalurkan sumber dan bantuan mencukupi untuk menggerakkan kerja. 


Lapor Daily NK, Park dilantik sebagai pengerusi suruhanjaya tidak tetap kementerian berkenaan yang dibentuk pada Jun 2020, untuk melaksaakan Akta Pendidikan Jarak Jauh. 


Namun, Jabatan Organisasi dan Bimbingan yang menjalankan penyelidikan terhadap suruhanjaya itu menunjukkan, Park gagal mencapai kemajuan dalam menentukan hala tuju pembelajaran jarak jauh di Korea Utara. Malah, ahli jawatankuasa suruhanjaya yang terdiri dari 20 profesor hanya berkumpul untuk mengkritik pemerintah. 


Park dikatakan pernah mengeluh kepada pegawai atasannya, tetapi Park diminta untuk mendiamkan diri dan melaksanakan sahaja tugas yang diberi. Malangnya Park terus meluahkan rasa tidak puas hatinya itu. 


"Saya tidak faham mengapa kerajaan memilih untuk melaksanakan akta ini, menubuhkan suruhanjaya ini dan memanggil profesor yang sibuk dari tugas universiti mereka sedangkan mereka tidak memberi sebarang sumber. 


"Walaupun kita memberi cadangan, mereka hanya memberitahu supaya kita menutup mulut. Jadi kita hanya berkumpul dan kemudian pulang ke rumah masing-masing," katanya. 


Perkara itu kemudian diketahui oleh Presiden Universiti Kim II Sung, Ri Guk Chol yang kemudian membuat aduan kepada jawatankuasa pusat. 


"Semua orang tahu bahawa negara mengalami kesulitan, tetapi kerja tidak dapat dilaksanakan dengan baik kerana wujud individu seperti Park," katanya. 


Kini, suruhanjaya berkenaan diketuai oleh Ri Guk Chol dan antara langkah awal yang diambil adalah kerap mengadakan persidangan video. 


Sumber: Harian Metro, New York Post


none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo