Slider

'Bukan isu pasal upah, tapi perlu ke anggota penjara cakap camtu?' - Netizen kesal Jabatan Penjara tak faham isu anggotanya menghina banduan di media sosial


Susulan tular perkongsian anggota penjara yang didakwa menghina banduan sehingga dikecam teruk oleh netizen, Jabatan Penjara Malaysia tampil memberi penjelasan bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan masyarakat.


Terdahulu, individu bernama Amir Hakim Jaafar memuat naik gambar seorang banduan sedang mencuci kereta Perodua Axia miliknya dengan kapsyen yang dianggap menghina. 


"Banduan boleh basuh, buat apa basuh sendiri," tulisnya berserta dengan emoji ketawa terbahak-bahak. 


Jabatan Penjara Malaysia bagaimanapun memberi enam penjelasan berikut: 


1. Perkhidmatan mencuci kenderaan dibuka kepada orang awam yang hendak menggunakan perkhidmatan ini dengan kadar harga bayaran berpatutan dan perkhidmatan berkualiti. 


2. Penghuni penjara yang terlibat telah dilatih dan diberi kemahiran dalam program pemulihan luar penjara yang dikenali sebagai Banduan Kerja Luar Penjara (BKLP). 


3. Setiap penghuni menerima upah atau gaji hasil daripada pekerjaan yang dilakukan. 


4. Program BKLP melibatkan banduan yang telah menjalani saringan ujian fizikal dan mental tertentu sehingga layak diberi pelepasan untuk menjalani BKLP dengan pemantauan anggota penjara.


5. Kebanyakan institusi menawarkan perkhidmatan mencuci kenderaan. 


6. Masyarat/komuniti setempat yang berhasrat untuk menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan dialu-alukan untuk berhubung dengan penjara berdekatan. 



Walau bagaimanapun, netizen mempertikaikan tindakan Jabatan Penjara Malaysia yang memberi penjelasan yang tiada kena menggena dengan isu berbangkit. 


"Orang awam bukan nak Jabatan Penjara jelaskan isu upah sebagainya. Kami sebagai orang awam pun nak sebut banduan cukup rasa biadab dan kurang ajar. Kami ni di pihak orang awam rasa ayat itu terlalu biadab, ayat banduan tu kami nak guna bercakap dalam bahasa harian pun tak tergamak. Apatah lagi anggota yang buat posting secara terbuka macam tu. Yang kami nak tahu sekarang, adalah penjelasan anggota yang biadab itu," kata Siti Zaleha. 


"Bukan itu isu. Isunya, bahasa jiwa bangsa. Perhalusi kembali perkataan cikgu-cikgu (warden) tersebut yang digunakan di media sosial mereka," tegas Mohd Fahmi. 


"Tak kisahlah si pencuci kereta itu banduan ke apa, masalahnya budi bahasa itu yang menjadi isunya. Si pegawai penjara itu seolah-olah merendahkan orang lain. Perlu ke cakap si pencuci kereta itu banduan dalam media sosial? Memang si pegawai itu tahu dia banduan, tetapi perlu ke cakap macam tu?" kata Muhammad Faiz Othman. 


"Jabatan Penjara Malaysia sekarang ni, faham ke tak isu yang sebenar? Yang orang pertikaikan itu adalah perangai staff kau yang bajet bagus sangat tu," kata Saiful Bahari. 



Sumber: Facebook Jabatan Penjara Malaysia


LAPORAN BERKAITAN

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo