Slider

Jangan teruja sangat jumpa muntah ikan paus konon boleh jadi kaya + tetiba mengaku sedara ekspress


Orang ramai dinasihatkan agar tidak terlalu teruja dengan berita penemuan muntah ikan paus atau ambergris yang kononnya boleh mengubah nasib sesiapa sahaja yang menemuinya dengan menjadi kaya sekelip mata.


Ini kerana, tiada lagi rakyat Malaysia yang menjadi 'jutawan segera' atau mendapat wang yang banyak setelah menjumpai muntah ikan paus di perairan negara setakat ini.


Pengarah Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan (PPPL) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Madya Dr Hasrizal Shaari berkata pengesahan ketulenan perlu dibuat untuk memastikan sama ada ketulan ambergris yang ditemukan itu mempunyai nilai yang sangat tinggi dalam industri minyak wangi atau hanya kandungan lemak semata-mata.


"Bersesuaian dengan harganya yang sangat tinggi di pasaran, ketulenan ambergris perlu melalui satu analisis makmal yang kompleks dan perlu dirujuk kepada satu standard yang khusus.


"Setakat ini, UMT adalah satu-satunya universiti di Malaysia yang berupaya untuk menentusahkan ketulenan sampel ambergris itu berdasarkan kepakaran PPPL yang turut dibantu oleh pakar di Fakulti Sains dan Sekitaran Marin UMT serta Universiti Plymouth di England," katanya ketika ditemui pemberita semalam.


Ambergris adalah bahan berwarna kelabu atau kehitaman kusam yang padat, berlilin dan mudah terbakar. Bahan berharga ini dihasilkan oleh rembesan saluran hempedu yang terdapat di dalam sistem pencernaan ikan paus sperma.


Ambergris sangat dihargai oleh pembuat minyak wangi sebagai bahan penetap yang membolehkan aroma minyak wangi tahan lebih lama, namun kesukaran mendapatkan ambergris menyebabkan kebanyakannya kini digantikan oleh ambroksida sintetik.


Semalam, media melaporkan seorang wanita dari Kemaman menjumpai 'emas terapung di lautan' itu ketika memancing berhampiran jeti Lembaga Kemajuan Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Marang pada akhir November lepas.


Mengulas lanjut, Hasrizal berkata muntah ikan paus yang bernilai tinggi akan mempunyai bahan aktif yang terdiri daripada tiga bahan utama iaitu ambrein (25 hingga 45 peratus), epicoprosterol (30 hingga 40 peratus) dan coprostanone (tiga hingga empat peratus).


"Tanpa kandungan tiga bahan aktif berkenaan ketulan tersebut tidak mempunyai apa-apa nilai. Setakat ini, PPPL UMT telah melakukan analisis bagi menentusahkan ketulenan 18 sampel yang dipercayai ambergris sebelum ini.


"Kesemua 18 sampel yang dihantar untuk dilakukan ujian itu tidak menunjukkan kehadiran tiga bahan aktif yang menjadi elemen penting kepada ketulenan sesuatu sampel ambergris dan ia langsung tidak mempunyai harga di pasaran," katanya.


Untuk menjalankan proses tersebut, UMT mengenakan sedikit bayaran untuk membuat analisis dan keputusannya boleh diketahui dalam tempoh seminggu.


Sehubungan itu, UMT sedia menawarkan kepakarannya untuk mengesahkan ketulenan muntah ikan paus atau ambergris yang dijumpai wanita tersebut untuk memudahkannya membuat keputusan.


Sumber: Bernama

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo