Slider

Suspek paksa lelaki OKU rakam dirinya buat amang seksual terhadap kanak-kanak diculik, di dalam kereta


Lelaki yang menculik seorang kanak-kanak perempuan selama enam jam di Taman Teratai, Kangkar Pulai, Johor Bahru pada Selasa lalu, telah berjaya ditahan polis semalam. 


Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, suspek berusia 36 tahun itu berjaya ditahan pada jam 4.45 petang di Kampung Kangkar Baru, Yong Peng oleh pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah Johor. 


Selasa lalu, sepasang suami isteri melaporkan anak perempuan mereka berusia tujuh tahun hilang dipercayai diculik di hadapan kediaman mereka. Enam jam kemudian, mangsa ditemui oleh orang awam yang kemudian diserahkan kepada pihak polis. 


Siasatan awal polis mendapati, suspek telah menculik mangsa dan membawanya ke Stulang Laut. Suspek dalam masa yang sama telah menyamun seorang lelaki OKU berusia lingkungan 20 tahun yang menyebabkan mangsa mengalami kerugian RM500. 


Tidak cukup dengan itu, suspek mengarah lelaki OKU berkenaan merakam kejadian amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan yang diculiknya di dalam kereta Proton Waja berwarna kelabu. 


Selesai melakukan perbuatan terkutuk tersebut, lelaki OKU berkenaan ditinggalkan di tepi jalan Stulang Laut, manakala kanak-kanak perempuan itu pula ditemui oleh orang awam di hadapan kedai makan kira-kira 1.5 kilometer dari rumah ibu bapanya dalam keadaan ketakutan dan trauma. 


Suspek kini direman selama lima hari sehingga 20 Disember. Polis turut merampas kenderaan yang digunakan suspek dan sebuah telefon bimbit. 


Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 dan Seksyen 363 Kanun Keseksaan. 


Hukuman bagi kesalahan Seksyen 392 Kanun Keseksaan adalah penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat, Seksyen 14 (a) AKSTK dengan penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan, manakala Seksyen 363 Kanun Keseksaan memperuntukan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda. 


Sumber: Harian Metro, Free Malaysia Today


LAPORAN BERKAITAN

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo