Slider

'Kita dah kaji, tarif baru elektrik takkan bebankan rakyat' - Takiyuddin beri jaminan


Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan tarif baru elektrik akan diumumkan dalam masa terdekat dan memberi jaminan tarif terbaru itu yang dilaksanakan sehingga 2024 tidak akan membebankan rakyat. 


Tegasnya, tarif baru itu kelak akan memberi manfaat kepada hampir 85 peratus daripada lapan juta pemilik akaun domestik di seluruh negara. 


"Keadaan negara sekarang yang baru pulih daripada pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi berikutan wabak itu telah menjadi pertimbangan kepada kerajaan dalam menentukan kadar tarif elektrik baru. 


"Kerajaan telah mengkaji dan akan membuat pengumuman dalam masa terdekat. Namun saya menjamin ia (tarif elektrik baru) tidak akan membebankan rakyat khususnya pemilik akaun domestik iaitu akaun rumah," katanya. 


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Dr Saravanan Thambirajah berkata, rakyat tidak perlu bimbang kerana pengumuman tarif elektrik baru itu kelak dijangka tidak akan menyebabkan sebarang kenaikan harga disebabkan harga bahan api tidak menunjukkan sebarang peningkatan.


"Saya rasa tiada perubahan dalam tarif elektrik kerana tiada kenaikan dalam kos sumber bahan bakar untuk menghasilkan tenaga dan kos operasi penghasilan tenaga. Ini berdasarkan kepada harga bahan api semasa. 


"Jika ada kenaikan pun, ia akan ditampung melalui subsidi kerajaan oleh Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE). Jadi, pengguna tidak akan bayar kalau harga naik," katanya. 


Sumber: Bernama, Sinar Harian

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo