Slider

Penganggur khayal dadah, penggal kepala ibu kandung guna parang


Seorang lelaki dipercayai di bawah pengaruh dadah, tergamak memenggal kepala ibu kandungnya sendiri dalam kejadian di kediaman mereka di Kampung Baru Pasir Penambang, Kuala Selangor pada Sabtu, 15 Januari 2022. 


Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian tersebut pada jam 5.45 petang dan beberapa anggotanya terus bergegas ke lokasi. 


Sebaik saja tiba, polis mendapati mangsa berusia 56 tahun itu ditemui di ruang tamu dengan kesan darah. 


Difahamkan, suspek berusia 28 tahun merupakan penganggur dan tinggal bersama ibu bapanya, manakala adik beradiknya yang lain pula menyewa di kawasan berhampiran. Ketika kejadian itu berlaku, suami mangsa tiada di rumah.


Kejadian itu disedari oleh salah seorang anak mangsa yang tidak dapat menghubungi ibunya, lalu kemudian datang ke rumah sebelum mendapati ibunya sudah maut dipenggal dengan senjata tajam. 


Suspek yang terkejut dengan kehadirannya, terus segera melarikan diri ke belakang rumah, namun berjaya ditangkap polis dengan bantuan penduduk. Turut dirampas, parang yang dipercayai digunakan oleh suspek dalam kejadian itu yang ditemui dalam tandas. Tiada alat atau bahan berkaitan dadah ditemui di kediaman itu.


Ujian saringan air kencing yang dibuat ke atas suspek mendapati, suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine. Selain itu, suspek juga memilik satu rekod jenayah lampau yang berkaitan dengan kes ugutan pada 2014. 


"Penyalahgunaan dadah membabitkan suspek dipercayai bukan dalam masa singkat kerana dia tergamak mencederakan orang. Kita percaya anak ketiga daripada tujuh beradik itu terbabit dengan masalah dadah ini antara tiga hingga empat tahun. 


"Untuk kes ugutan pula, kes mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membabitkan ugutan ke atas ibunya sendiri. Bagaimanapun suspek telah menjalani hukumannya," katanya.


Sementara itu, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk tindakan lanjut.


Suspek direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo