Slider

2 beranak tipu pakej perkahwinan RM7,625 ditahan, polis gesa mangsa lain tampil buat laporan


Dua beranak berusia 25 dan 57 tahun yang disyaki terbabit dalam penipuan urusan tempahan pakej perkahwinan ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur dalam serbuan di Taman Sri Rampai, kelmarin. 


Ketua JSJK Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, pihaknya terdahulu menerima laporan berhubung penipuan yang dilakukan dua beranak terbabit daripada kerani wanita berusia 24 tahun, Khamis lalu. 


Menurut mangsa, dia mendapatkan perkhidmatan perunding perkahwinan untuk majlis perkahwinan dari sebuah syarikat pada Mei lalu selepas tertarik dengan tawaran pakej perkahwinan termasuk dewan, katering, pakaian pengantin pasangan dan jurugambar. 


Mangsa membuat pembayaran deposit sebanyak RM7,265, malangnya syarikat tersebut gagal menyediakan perkhidmatan yang dijanjikan. 


Dalam serbuan itu, polis turut merampas beberapa dokumen dan telefon bimbit dari suspek. Polis percaya, ramai yang telah menjadi mangsa penipuan dua beranak terbabit dan pihaknya kini sedang mengesan mangsa-mangsa lain dan menggesa mereka untuk tampil membuat laporan. 


Kedua-dua suspek direman selama empat hari sehingga 8 Februari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 402 Kanun Keseksaan.


Mohd Mahidisham menasihatkan peniaga tidak menawarkan perkhidmatan atau menjual barangan jika tidak berkemampuan untuk memenuhi keperluan pelanggan, termasuk menggunakan alasan pandemik Covid-19 setelah gagal menunaikan janji mereka kepada pelanggan. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo