Slider

'Adakalanya saya taklah berharap untuk pulih' - Tun Dr Mahathir


Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hampir pulih sepenuhnya selepas dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) pada Sabtu lepas.


Menerusi video yang dimuat naik di laman Facebook hari ini, Dr Mahathir memaklumkan beliau kini sudah mampu melakukan pelbagai aktiviti harian dan berharap untuk pulih sepenuhnya.


“Adakalanya saya taklah berharap untuk pulih tetapi Alhamdulillah, dengan rawatan yang diberi di IJN, saya pulih.


“Waktu ini saya boleh berjalan, makan, tidur, duduk. Saya hampir macam biasa, tapi tidak begitu kuat untuk buat kerja sebagainya. Tapi saya berharap saya boleh pulih,” katanya.


Dr Mahathir turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah mendoakan kesihatan dirinya sehingga berjaya pulih daripada penyakit yang disifatkan beliau sebagai amat teruk.


Menerusi satu lagi hantaran di Facebook, Dr Mahathir turut berkongsi gambar beliau beriadah di sekitar Tasik Putrajaya pagi ini dengan ditemani isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.


Sebelum ini, Dr Mahathir dimasukkan ke IJN untuk menjalani prosedur perubatan elektif.


Sumber: Bernama

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo