Slider

'Dia minta wang sebab nak beli benda tu (dadah)' - Bapa kata anak lelakinya baik, salah dirinya selalu beri wang untuk beli dadah


Suspek yang menetak leher ibu tirinya menggunakan parang sehingga putus di Kampung Dalam Senduk, Jerek, Gua Musang semalam dikatakan kerap meminta wang untuk membeli bekalan dadah. 


Suami mangsa, Abdullah Abdul Rahim, 73, berkata, anak lelakinya berusia 39 tahun itu selalu meminta wang RM10-RM20. Tetapi dia tidak menyangka anak keenam daripada lapan beradik itu tergamak membunuh isterinya dengan begitu kejam. 


"Kalau ada duit, saya akan terus memberikannya hingga menyebabkan arwah isteri sering marah dan berleter. Dia minta wang sebab hendak beli benda itu (dadah). Namun silap saya sebab selalu memberi wang kepadanya. 


"Mungkin kalau saya ada ketika kejadian, akan turut menjadi mangsa. Saya tidak tahu bagaimana ia terjadi tetapi jika dilihat pada keadaan rumah, dia terlebih dahulu merosakkan langsir sebelum menetak leher isteri," kata penoreh getah itu. 


Abdullah berkata, dia juga telah menyembunyikan beberapa bilah parang miliknya di tempat yang selamat, tetapi entah bagaimana anaknya berjaya menemui senjata tersebut. 


Ketika kejadian itu berlaku, Abdullah berada di Balai Polis Bertama untuk menguruskan seorang lagi anak lelakinya berusia 17 tahun yang disaman pihak polis. Dalam masa yang sama dia melihat suspek masuk ke balai dan berbisik kepada polis yang dia telah membunuh ibu tirinya yang kemudian memaklumkan kepada saya. 


"Saya terus pulang ke rumah dan melihat keadaan isteri yang sudah terlentang dengan lehernya terkulai. Saya terkejut dan sedih dengan kejadian ini," katanya.


Beberapa hari sebelum kejadian itu, Abdullah ada melihat suspek berada dalam keadaan khayal. Suspek katanya merupakan seorang anak yang baik dan telah dua kali menerima rawatan di hospital mental, serta pernah ditahan polis atas kesalahan dadah. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo