Slider

Jumlah kanak-kanak positif Covid-19 semakin meningkat terutamanya kategori 2 dan 5 - KKM


Sejak Januari hingga pertengahan Februari 2022, seramai 50,826 kanak-kanak di bawah usia 12 tahun disahkan positif Covid-19. Seramai 15,817 kes (31.12 peratus) kanak-kanak dijangkiti kategori satu, 34,857 kes bagi kategori dua, 120 kes bagi kategori tiga, 28 kes bagi kategori empat dan empat kes bagi kategori lima. 


Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pola penggunaan katil harian pesakit Covid-19 dalam kanak-kanak bawah 12 tahun juga semakin meningkat. Peningkatan dilihat paling ketara pada Februari terutama bagi kategori dua dan kategori lima. 


Noor Hisham tidak menolak peningkatan itu berkemungkinan disebabkan penularan varian Omicron dan pergerakan kanak-kanak dalam komuniti susulan kerajaan membenarkan sesi persekolahan, pusat jagaan kanak-kanak dan bayi dibuka semula, lalu menyebabkan risiko pendedahan kepada jangkitan Covid-19. 


"Meskipun gejala jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak kebiasaannya kurang serius berbanding dewasa, namun terdapat juga kes yang memerlukan rawatan di hospital dan sebilangannya memerlukan rawatan intensif di Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya. 


Antara gejala yang selalu dialami oleh kanak-kanak yang disahkan positif Covid-19 adalah seperti batuk, selesema berterusan lebih dari 7 hari, bernafas laju, kurang aktif, kurang makan, demam berterusan dan muntah atau cirit birit. Dalam keadaan yang lebih serius, kanak-kanak boleh mengalami sakit dada atau sakit perut, kurang tahap kesedaran dan juga sawan. 


"Multi System Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C) adalah salah satu keadaan kritikal yang boleh berlaku akibat jangkitan Covid-19 di mana terjadinya keradangan organ dalaman terutamanya jantung, paru-paru dan otak.


"Sehingga kini, tujuh kematian kanak-kanak disebabkan oleh MIS-C susulan jangkitan Covid-19 dilaporkan. Kanak-kanak juga berisiko mendapat Long-Covid iaitu sindrom Covid-19 selepas fasa akut jangkitan. 


"Kumpulan kanak-kanak yang berisiko tinggi untuk mengalami jangkitan Covid-19 yang serius adalah golongan pesakit kanak-kanak yang mempunyai penyakit paru-paru kronik, penyakit jantung, lemah sistem imun badan, kencing manis, sedang menjalani rawatan menggunakan steroid (seperti pesakit autoimun dan transplan), kanser, asma dan obesiti," katanya.


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo