Slider

'Najib adalah pengkhianat UMNO sebenar, punca majoriti rakyat benci UMNO' - Muhyiddin


Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mendakwa, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah pengkhianat UMNO yang sebenar kerana membiarkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berterusan sehingga menyebabkan majoriti rakyat membenci UMNO. 


"Ada pemimpin UMNO menghasut orang Melayu supaya percaya saya pengkhianat. Kononnya sayalah yang menyebabkan kerugian kepada orang Melayu apabila menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan bekerjasama dengan PKR serta DAP menjatuhkan UMNO. 


"Mereka cuba menutup hakikat sebenar bahawa UMNO dikhianati oleh bekas Presiden UMNO sendiri, iaitu Najib," tulis Muhyiddin di Facebooknya. 


Dalam kenyataan itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu juga menjelaskan Najib memecatnya sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 2015 hanya kerana dia menyarankan isu 1MDB disiasat secara telus. 


"Saya sarankan demikian supaya ia tidak menimbulkan sebarang tanggapan buruk kepada kerajaan dan parti ketika itu. Malangnya saranan saya dijawab dengan pemecatan daripada kerajaan dan UMNO. 


"Ingat, saya dipecat bukan kerana skandal rasuah mahupun salah laku moral. Saya dipecat kerana meminta diadakan siasatan bagi memastikan mereka yang bertanggungjawab dalam kehilangan RM42 bilion wang 1MDB dibawa ke muka pengadilan.


"Jika saya dianggap pengkhianat kerana mendedahkan skandal 1MDB dan menubuhkan Bersatu untuk menentang kumpulan kleptokrat di dalam UMNO, saya rela dengan gelaran tersebut. 


"Kini terbukti perjuangan saya adalah benar. Mahkamah telah menjatuhkan hukuman bersalah ke atas Najib atas kesalahan pecah amanah, salahguna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International yang ada hubung kait dengan 1MDB. 


"Jelas skandal 1MDB bukan satu fitnah, bukan satu kerajaan. Kerajaan PN di bawah pimpinan saya telah mengutip semula lebih RM16 bilion wang dan aset berkaitan syarikat 1MDB yang telah diseleweng," katanya. 


Dalam pada itu, Muhyiddin turut menjelaskan dia tidak pernah meminta untuk dilantik sebagai Perdana Menteri, malah tidak pernah berkempen untuk menjadi Perdana Menteri ketika itu. Sebaliknya, dia hanya sekadar mengikut apa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dengan mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen dan dilantik Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri. 


Bagaimanapun dia tidak menyangka sokongan itu ibarat pepatah, ada udang di sebalik batu kerana selang beberapa hari selepas dilantik, dia didatangi beberapa pemimpin parti berkenaan yang memintanya campur tangan dalam kes supaya mereka dibebaskan. 


Sumber: FB Muhyiddin Yassin 

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo