Slider

'Pekatnya kebodohan kau' - 2 influencer buat aksi tak senonoh di laman Mahkota Bukit Serene, netizen gesa polis ambil tindakan tegas


Padah berpakaian tidak sopan dan melakukan aksi tidak senonoh di hadapan laman Mahkota Istana Bukit Serene, Johor Bahru, dua lelaki tempatan berusia 24 dan 27 tahun ditahan polis. 


Kedua-dua suspek yang merupakan 'influencer' berpakaian menyerupai wanita dan merakam gambar aksi menjelikkan di kawasan itu sebelum dimuat naik ke akaun Facebook masing-masing semalam dengan kapsyen "Kami dah sampai Johor, kami sayang awak". 


Selain itu, Bryan dan Deacon juga melakukan beberapa aksi melampau seperti berpura-pura bercumbuan menayangkan seluar dalam mereka. 



Perbuatan tidak bermoral itu mengundang kemarahan netizen yang menyifatkan tindakan mereka itu secara tidak langsung telah menghina keluarga Diraja Johor. Malah ada netizen yang memaklumkan kepada Facebook Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar melalui fungsi tag, termasuk Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar dua individu terbabit dikenakan tindakan undang-undang. 

 

Menyedari gambar-gambar itu tidak disenangi netizen, Bryan dan Deacon mula memadamkan perkongsian tersebut. Tetapi nasi telah menjadi bubur kerana ada netizen yang sempat menyimpan dan menyebarkan semula gambar itu di serata platform media sosial. 


Ramai netizen yang meluahkan rasa ketidakpuasan hati terhadap Bryan dan Deacon dan menggelar mereka tiada otak, sampah masyarakat dan memalukan masyarakat Cina. 



Sementara itu, Ketua Polis Johor, Dato' Kamarul Zaman Mamat mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung gambar tular itu dan bertindak di atas laporan tersebut, pihaknya telah menahan kedua-dua suspek. 


Keputusan ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap Bryan dan Deacon juga mendapati mereka positif dadah jenis ketamin.


Dua suspek berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. 


Kamarul Zaman menasihatkan orang ramai tidak menyalahgunakan media sosial untuk memuat sebarang imej atau maklumat yang boleh mengganggu ketenteraman negara. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati sengaja berbuat demikian.

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo