Slider

'Saya tahu kalah kena maki, menang pun kena maki' - Ali Puteh diperintah bayar RM60,000 kepada balu Abam Bocey, akan buat rayuan di Mahkamah Tinggi


Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintah pelawak Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan atau Ali Puteh, 34, membayar RM60,000 kepada kakak iparnya, Siti Nor Hidayah Mohd Ali, 30, kerana mengeluarkan kenyataan mengaibkan di Instagram dua tahun lalu. 


Hakim Zulqarnain Hassan mengeluarkan perintah tersebut selepas membenarkan saman fitnah yang dikemukakan Siti Nor Hidayah selaku plaintif terhadap Ali Puteh selaku defendan. 


Pada Mei 2020, Siti Nor Hidayah telah memfailkan saman fitnah terhadap Ali yang membuat kenyataan yang mengaibkannya termasuk menggambarkan dirinya seorang yang tidak bertanggungjawab. 


Dalam pada itu juga, Hakim Zulqarnain Hassan mengatakan pihak yang mengejar harta Allahyarham bukanlah Siti Nor Hidayah, sebaliknya plaintif-plaintif iaitu Ali Puteh dan tiga lagi ahli keluarganya. 


"Pihak yang mengejar harta bukannya isteri arwah (Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan atau Abam Bocey), sebaliknya plaintif-plaintif," katanya. 


Perkara itu jelas kerana pada hari kedua Abam meninggal dunia, ahli keluarga plaintif mengajak Siti Nor Hidayah berbincang mengenai harta arwah. Malah telefon bimbit milik arwah telah diambil Ali Puteh dan beg duit arwah diambil oleh (arwah) ibunya. 


"Perbuatan itu seolah-olah tidak memahami kesedihan isteri arwah yang juga dalam dilema sedang memikirkan bagaimana hendak mengharungi masa depan dan membesarkan anak yang masih kecil," katanya. 


Sementara itu, Ali Puteh berkata dia sudah menjangkakan keputusan kes itu dan bersedia menerima kecaman di media sosial membuatkan dia enggan mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengundang lebih banyak kecaman. 


"Saya sudah bersedia dengan keputusan kes sebab saya tahu kalah kena maki, menang pun kena maki. Sepanjang dua tahun ini, saya sudah lali dengan situasi tersebut dan tidak mahu membuat kenyataan yang boleh mengundang lebih banyak kecaman," katanya. 


Dalam prosiding yang sama, mahkamah telah menolak saman fitnah yang dikemukakan Ali Puteh dan tiga ahli keluarganya terhadap Siti Nor Hidayah dan Datuk Aliff Syukri dengan kos sebanyak RM13,000. 


Walaupun gagal dalam saman fitnah, Ali Puteh hormat dengan keputusan mahkamah dan selepas berbincang dengan peguamnya, dia dan keluarga akan membuat rayuan di Mahkamah Tinggi dalam tempoh 14 hari. 


Sumber: Sinar Harian

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo