Slider

Skandal 1MDB: Bekas pegawai bank Goldman Sachs dedah hubungan sulit dengan bekas CEO Astro, pernah diugut beli rumah mewah $10 juta di London


Keterangan bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner dalam perbicaraan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di Amerika Syarikat bertambah 'rancak' selepas dia mendedahkan mempunyai hubungan sulit dengan bekas CEO Astro Malaysia Holdings Bhd, Rohana Rozhan dan menghadiahkan rumah mewah bernilai AS$10 juta (RM31.1 juta) kepada wanita itu. 


Tim mendakwa, dia membeli rumah tersebut di London pada tahun 2013, selepas wanita itu mengancam mahu mendedahkan penglibatannya dengan 1MDB, lapor Bloomberg. 


"Cik Rozhan sangat kecewa kerana saya memutuskan hubungan kami untuk saya bersama dengan bakal isteri, Kimora," kata Leissner kepada juri, yang merujuk kepada isterinya, Kimora Lee Simmons. 


"Jika saya tidak membelikannya rumah, dia akan memberitahu pihak berkuasa mengenai penglibatan saya dalam skandal 1MDB. Dia mengancam untuk mendedahkan saya. Waktu itu, tahun 2013, saya sangat takut dengan perkara itu," katanya. 


Leissner juga mendedahkan hubungan sulitnya dengan Rohana kepada bosnya ketika itu, bekas ketua Goldman Asia, Richard Gnodde. Leisnner mendakwa, ia adalah isu sensitif kerana bank pelaburan itu mempunyai perniagaan bersama Astro dan Gnodde memberitahunya 'berhati-hati dalam menjalinkan hubungan dengan pelanggan'. 


"Hampir semua orang di wilayah Asia Tenggar tahu mengenainya," katanya. 


Rohana kemudian meninggalkan Astro pada tahun 2019. 


Leissner merupakan saksi utama pihak pendakwaan dalam perbicaraan jenayah yang melibatkan bekas rakan sekerja Goldman Sachs, Roger Ng. Leissner juga mengaku bersalah pada tahun 2018 atas tuduhan konspirasi untuk melanggar undang-undang anti-rasuah Amerika Syarikat dan bersubahat dalam kegiatan mencuci wang haram. 


Ng adalah satu-satunya bekas pegawai bank Goldman yang dibicarakan atas penglibatannya dalam skandal 1MDB. 


NAJIB MAHU ANAK-ANAKNYA BEKERJA DI GOLDMAN SACHS



Dalam keterangannya hari ini, Leissner turut mendedahkan mengenai bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang didakwa mahu mendapatkan pekerjaan untuk tiga anaknya di bank Goldman. 


Leissner, 52, memberi keterangan bahwaa pertemuan bekas bosnya, Lloyd Blankfein dengan Najib pada 2009 datang dengan agenda dan ia berlaku sebelum perjanjian bon mega bank untuk 1MDB. 


Tambahnya, dia diberitahu oleh Ng bahawa Najib akan berada di New York untuk melawat anak-anaknya sempena cuti Thanksgiving. 


Beliau mendakwa, ahli perniagaan yang diburu pihak berkuasa, Low Taek Jho atau Jho Low berkata, adalah baik untuk Blankfein dan Najib bertemu. Selepas pertemuan dengan Najib, Ng memaklumkan perdana menteri Malaysia itu mahu anak-anaknya bekerja di Goldman. 


"Baru sahaja bertemu dengan tiga anak PM di apartment-nya bersama Jho Low.  Akan berjumpa lagi pada keesokan hari dan akan berusaha menempatkan tiga anaknya dengan Goldman Sachs." 


Leissner kemudian membantu anak perempuan Najib mendapatkan pekerjaan di TPG, sebuah syarikat pelaburan di Amerika.


Minggu lalu, Leissner memberitahu mahkamah bahawa, ketamakan dan cita-cita mendorong dia terlibat dalam perjanjian 1MDB. Dia mendakwa Ng pada tahun 2008 memupuk hubungan dengan Jho Low yang ketika itu menjadi perantara Goldman dan 1MDB.


Leissner turut memberi keterangan bahawa Jho Low membuat senarai orang kenamaan di Malaysia dan Abu Dhabi yang perlu disogok agar pelan 1MDB diluluskan. Antara nama yang disebut dalam keterangannya adalah Najib dan Timbalan Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu, Sheikh Mansour. 


Sehari sebelumnya, Alex Cohen memberi keterangan dalam perbicaraan NG. Cohen ialah ketua pegawai kewangan Kumpulan Strategik, sebuah syarikat hiburan dan pemasaran yang menganjurkan parti untuk Jho Low. 


Beliau memberitahu mahkamah bahawa berjuta-juta dolar dihabiskan dalam skandal 1MDB dibelanja oleh Jho Low untuk pesta mewah dan tetamu selebriti. 


Menurut Bloomberg, Cohen memberi keterangan bahawa Jho Low memperuntuk Kumpulan Strategik sekurang-kurangnya 25 peratus daripada keuntungan pada tahun 2012, membayar AS$5,000 hanya untuk pencarian bakat bagi satu acara tertentu - jumlah keseluruhannya kira-kira AS$700 juta yang didakwa diperoleh Jho Low daripada 1MDB. 


Juri di Brooklyn, New York juga mendengar tentang invois daripada pesta di Las Vegas untuk Jho Low, di mana perbelanjaan seperti makanan, minuman, 'bakat' dan 'model berkualiti tinggi' ditambah sehingga lebih AS$3.6 juta.


Sumber: The Vibes

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo