Slider

Suami tikam perut sendiri selepas simbah air panas pada isteri ketika bertengkar mengenai masalah kewangan


Seorang suami nekad menikam perutnya sendiri selepas menyimbah air panas pada isterinya dalam kejadian yang berlaku di Kampung Pondo, Pulau Gaya, Isnin lalu. 


Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman berkata, siasatan awal mendapati pasangan terbabit yang baru sahaja mendirikan rumah tangga beberapa bulan lalu dipercayai bertengkar mengenai masalah kewangan yang dihadapi pada jam 11.30 malam. 


Sebelum itu, mangsa berusia 40 tahun berkenaan sedang memasak air di dapur dan tiba-tiba pertengkaran tercetus di antara mereka. 


Suspek berusia 41 tahun yang gagal mengawal kemarahan terus bertindak mengambil cerek air yang sedang dimasak dan disimbah pada isterinya sebelum mengambil sebilah pisau pemotong sayur yang ditikam pada perutnya sendiri. 


Difahamkan, suspek selalu ditendang dan ditampar oleh mangsa sebelum ini apabila mereka bertengkar mengenai masalah kewangan. 


Akibat dari kejadian itu, mangsa mengalami luka melecur di bahu dan tangan kiri, suspek pula masih menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth dan keadaannya mereka dilaporkan stabil. 


Kes disiasat mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan dan Seksyen 309 Kanun Keseksaan. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo