Slider

Tiada lagi amaran, JPJ akan ambil tindakan terus terhadap penjaja di persimpangan lampu isyarat


Sudah puas diberi nasihat dan amaran, namun semua itu tidak diendahkan mendorong pihak berkuasa bakal mengambil tindakan undang-undang secara 'direct' terhadap penjaja di persimpangan lampu isyarat yang masih berdegil melakukan aktiviti itu. 


Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak, Mohammad Yusoff Abustan menegaskan, pihaknya bukan mahu menyekat rezeki sesiapa tetapi tindakan perlu diambil demi menjaga keselamatan penjaja itu sendiri dan pengguna jalan raya lain di negeri itu. 


Katanya, tindakan berniaga di tempat berbahaya seperti itu boleh mengundang kecelakaan. Pihaknya sudah puas memberikan nasihat selama ini, namun tidak diendahkan dan kali ini JPJ Perak akan melaksanakan penguatkuasaan dalam masa terdekat untuk menghentikan aktiviti tersebut yang semakin berleluasa. 


Menjaja di kawasan persimpangan lampu isyarat atau bahu jalan adalah satu kesalahan yang tertakluk di bawah Kaedah 10A (1) dan Kaedah 10A (2) Kaedah-Kaedah Lalulintas 1959. 


Aktiviti menjaja di persimpangan lampu isyarat ini dikesan berlaku ketika fasa pertengahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2020 dilonggarkan. Ia bermula dari sebilangan kecil penjaja yang cuba mencari rezeki di kawasan berbahaya itu dengan alasan kehilangan pekerjaan akibat PKP. 


Aktiviti itu dilihat semakin meningkat setiap hari dan hampir keseluruhan persimpangan lampu isyarat yang sesak dengan kenderaan 'dikuasai' oleh golongan penjaja terbabit. Hal ini mula menimbulkan rasa kurang selesa pengguna jalan raya yang bimbang dengan keselamatan kedua-dua pihak.


Pernah berlaku kemalangan disebabkan aktiviti tersebut di mana ada pemandu yang memberhentikan kenderaan secara tiba-tiba hanya kerana mahu membeli buah dari penjaja, menyebabkan kenderaan di belakangnya brek mengejut dan dilanggar kenderaan lain. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo