Slider

(Video) 'Kalau awak tak mencuri, tunjuk resit!' - Pekerja DIY tahan lelaki disyaki curi 3 botol sanitizer


Tular di media sosial sejak semalam video rakaman orang awam yang menunjukkan seorang wanita dipercayai pekerja premis Mr DIY, menahan seorang lelaki yang disyaki mencuri barangan berupakan produk sanitizer.


Berdasarkan video berdurasi 3 minit 26 saat itu di sebuah pusat beli-belah yang tidak dinyatakan lokasinya, lelaki terbabit menegaskan dia telah membayar tiga barangan itu dan menafikan tuduhan kononnya dia mencuri. Tetapi apabila pekerja berkenaan meminta dia mengemukakan bukti resit pembelian, dia gagal berbuat demikian. 


Sedar akan dirinya tidak mampu menafikan tuduhan itu, lelaki terbabit hanya mendiamkan diri dan menyerahkan kembali tiga botol sanitizer tersebut. Dalam masa yang sama, pekerja wanita itu menjelaskan dia tidak berniat meninggikan suara dan hanya sekadar menjalankan tanggungjawab sebagai pekerja untuk menghalang kecurian berlaku di tempat kerjanya.


Seketika kemudian, seorang lelaki dipercayai pengawal keselamatan pusat beli belah datang untuk mententeramkan keadaan. Malangnya lelaki itu mengambil peluang untuk mengatakan dirinya tidak bersalah dan meninggikan suara terhadap pekerja berkenaan. 


Berang dengan tindakan 'pengecut' lelaki itu, pekerja berkenaan meninggikan suaranya dan menegaskan lelaki itu tidak mempunyai resit pembelian untuk tiga botol sanitizer yang diambil dari premis Mr DIY. 



Tidak diketahui apa yang berlaku seterusnya, tetapi di media sosial netizen kagum dan memuji keberaniannya berdepan dengan pencuri. Malah netizen berharap, pihak majikan memberi ganjaran kepada wanita itu yang sanggup mempertahankan pekerja di bawah seliaannya daripada dipotong gaji atas sebab kehilangan barangan akibat dicuri. 

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo