Slider

Ambulans ditahan untuk beri laluan kepada konvoi PM Ismail Sabri - Sumber

Konvoi Perdana Menteri Ismail Sabri diutamakan kerana telah masuk ke jalan utama dengan kelajuan tinggi.



Insiden sebuah ambulans swasta ditahan dua anggota polis trafik bagi memberi laluan kepada konvoi VVIP di Johor yang videonya tular di media sosial semalam dikatakan melibatkan konvoi Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. 


Lapor MalaysiaKini, Ismail Sabri pada waktu itu baru selesai melancarkan program Aspirasi Keluarga Malaysia yang diadakan di Plaza Angsana, Johor Bahru. 


Baca: Ambulans swasta ditahan dari meneruskan perjalanan untuk beri laluan kepada golongan VVIP, mengundang pelbagai reaksi rakyat


Menurut sumber yang dipetik portal berkenaan berkata, ambulans itu ditahan kerana konvoi tersebut yang bergerak dari arah Taman Tasek, telah masuk ke jalan utama dengan kelajuan tinggi dari jejambat. 


Jelas sumber, sekiranya ambulans itu dibenarkan meneruskan perjalanan, ia berisiko bertembung dengan konvoi Ismail Sabri. 


Bagaimanapun katanya, ambulans itu diberikan keutamaan selepas konvoi Ismail Sabri berlalu pergi, sebelum kenderaan persendirian dibenarkan meneruskan perjalanan mereka. 


Sementara itu, Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat berkata, ibu pejabat polis daerah (IPD) Johor Bahru Utara akan mengeluarkan kenyataan berhubung insiden itu. 


Lapor MalaysiaKini lagi, Disember 2021, sebuah ambulans turut ditahan di Hulu Langat, Selangor bagi memberi laluan kepada konvoi Ismail Sabri yang ketika itu melawat kawasan yang terjejas akibat banjir. 


Video insiden itu tular di media sosial dan Polis Selangor tampil menjelaskan langkah itu dibuat atas faktor keselamatan. 


Sumber: MalaysiaKini

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo