Slider

'Anak saya sakit kanser, saya sudah mengaku salah' - Peniaga didenda RM4,000 kerana miliki 3 Android TV Box

Miliki 3 unit Android TV Box, peniaga didenda RM4,000

Foto tertuduh | Harian Metro (Foto background hanya sekadar hiasan) 


Mahkamah Siber Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman denda RM4,000 terhadap seorang peniaga yang mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki dengan tujuan menjual kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui oleh SKMM. 


Khor Ooi Heong, 42, mengaku bersalah di hadapan Hakim M M Edwin Paramjothy  selepas dibacakan pertuduhan menjual Android TV Box yang tidak diperakui SKMM. Mahkamah turut memerintah Khor dipenjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda. Khor memilih membayar denda itu. 


Mengikut pertuduhan, Khor didakwa menjual tiga unit Android TV Box jenama Tian Mau yang tidak diperakui SKMM di Menara Uncang Emas, jam 11.40 pagi, 9 Julai 2020. 


Bagi kesalahan itu, Khor didakwa di bawah Peraturan 16 (1) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang dibaca bersama Peraturan 16 (3) Peraturan-peraturan sama yang boleh dihukum di bawah Peraturan 37 Peraturan-peraturan sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,00 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali. 


Terdahulu, Khor yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar hukumannya dikurangkan kerana syarikat miliknya, Wellbao Trading telah ditutup susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. 


"Saya juga memohon agar mahkamah mempertimbangkan rayuan saya kerana anak pertama saya sakit kanser, selalu kena pergi hospital. Isteri saya tidak kerja perlu menjaga dua anak kami. Hanya saya seorang bekerja. 


"Saya sudah mengaku salah dan sekarang saya tak menjualnya lagi. Saya sudah berikan kerjasama kepada pihak siasatan semasa menyelesaikan kes ini. Saya merayu denda yang rendah," katanya. 


Pegawai Pendakwa SKMM, Nur Hazhzilah Mohammad Hashim meminta mahkamah menjatuhkan hukuman yang sewajarnya terhadap Khor atas faktor kepentingan awam berbanding kepentingan peribadi. 


"Diharap ada pengajaran setimpal untuk tiada lagi kesalahan sama diulangi. Saya juga membuat permohonan lucut hak bagi tiga unit barang kes untuk perlupusan," katanya. 


Sumber: Harian Metro


none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo