Slider

'Apps MySejahtera tak boleh terus digunakan secara berterusan, ceroboh privasi pergerakan' - Mohammad Hasan

Foto Utusan Malaysia


Timbalan Presisden UMNO, Mohammad Hasan berpandangan aplikasi MySejahtera tidak boleh digunakan secara berterusan kerana akan membebankan rakyat, lebih-lebih lagi aplikasi itu menggunakan mekanisme pengawasan secara langsung. 


Aplikasi MySejahtera pada awalnya dibangunkan untuk mengawasi dan mengekang penularan wabak Covid-19, tetapi apabila timbulnya laporan pelantikan MySJ Sdn Bhd sebagai syarikat yang akan menguruskan aplikasi MySejahtera untuk fasa seterusnya menimbulkan kebimbangan banyak pihak. 


"Rakyat tidak boleh selamanya dibebani dengan mekanisme surveillance yang secara langsung menceroboh privasi dalam pergerakan dan kehidupan seharian mereka. 


"Tentukanlah tempoh masa sebelum semua ini boleh kita hentikan demi normalisasi kehidupan rakyat Malaysia seperti sebelum pandemik," katanya. 


Tambahnya lagi, walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memberi penjelasan, tetapi rakyat berhak mengetahui rasional, motif dan kemampuan MySJ yang dilantik secara rundingan terus, bukannya secara tender terbuka. Apatah lagi ia melibatkan pengurusan data peribadi dan maklumat kesihatan, pergerakan dan trend kehidupan rakyat Malaysia. 


Sementara itu, Menteri KKM, Khairy Jamaluddin berkata, aplikasi MySejahtera masih perlu digunakan walaupun negara berada dalam fasa peralihan pandemik. 


Aplikasi tersebut katanya bukan bertujuan merekod lokasi pengguna, tetapi untuk mengesan kontak rapat kes positif Covid-19 untuk tindakan susulan. 


Bagaimanapun Khairy berkata, aplikasi itu mungkin akan dimansuhkan dalam masa beberapa bulan lagi sekiranya kes Covid-19 di negara sudah stabil. 


Khairy juga menyanggah kenyataan Mohammad Hasan yang mendakwa pengguna aplikasi itu dibebani dengan aktiviti pencerobohan privasi pergerakan mereka. 


"Kita gunakan MySejahtera ini untuk tujuan kesihatan awam. KKM (Kementerian Kesihatan) tahu bila nak hentikan penggunaan MySejahtera dan ia bukan semata-mata nak tahu pengguna pergi ke mana," katanya.


Sumber: Malaysiakini, Sinar Harian

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo