Slider

Dituduh bunuh wanita di bengkel sekolah, pengawal keselamatan hanya sekadar mengangguk faham

Foto Astro Awani


Pengawal Keselamatan di sebuah sekolah menengah di Bandar Tun Razak dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita di sekolah tempatnya bertugas pada 12 Mac lalu. 


Tertuduh, Muhammad Yusri Latiff, 35, hanya mengangguk faham di atas pertuduhan yang dibacakan ke atasnya di hadapan Majistret Wong Chai Sia, tanpa membuat sebarang pengakuan. 


Sepanjang pertuduhan dibacakan, tertuduh yang memakai baju kuning kelihatan tenang. 


Mengikut pertuduhan, 12 Mac jam 1.45 tengah hari hingga 5.30 petang, tertuduh didakwa membunuh Fong Hsu Kei, 25, di bengkel pertanian Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mulia, Cheras. 


Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan. 


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Phulrani Kaur. Mahkamah kemudian menetapkan 25 Mei ini untuk sebutan semula kes. 


Terdahulu media melaporkan seorang pengawal keselamatan sekolah ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes bunuh dan bakar seorang penyelia kedai buku di sekolah tersebut. 


Polis percaya, pengawal keselamatan terbabit cuba merogol mangsa sebelum dibunuh dan mayatnya dibakar di dalam bengkel tersebut.


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo