Slider

FMM rayu kerajaan pertimbang semula cadangan naikkan gaji minimum RM1,500

FFM berpendapat tindakan kerajaan melaksanakan gaji minimum RM1,500 akan memberi kesan kepada perniagaan dan ekonomi.



Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) telah merayu kepada kerajaan untuk mempertimbangkan semula keputusan untuk menaikkan gaji minimum serta-merta kepada RM1,500 pada Mei 2022 dan sebaliknya mengambil pendekatan kenaikan progresif seperti yang dicadangkan.


"Kami berpendapat bahawa kenaikan kadar gaji secara beransur-ansur masih akan dapat menangani kenaikan kos sara hidup disebabkan oleh pandemik Covid-19 dan gangguan bekalan yang berlaku.


"Justeru, majikan akan terus merancang untuk menaikkan gaji pada tahun 2022 dan ia akan dapat menangani tekanan kos sara hidup," kata presiden FMM Tan Sri Soh Thian Lai dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau berkata FMM yakin dengan kawalan yang diperlukan terhadap kenaikan kos oleh kerajaan serta usaha bersepadu oleh industri untuk membiayai kenaikan kos secara dalaman, majikan boleh terus mengekalkan pekerjaan dan pelarasan gaji.


Soh berkata kenaikan daripada kadar gaji minimum semasa RM1,200 kepada RM1,500 mewakili kenaikan serta-merta sebanyak 25 peratus ke atas gaji pokok yang akan memberi kesan ke atas kos gaji keseluruhan dan ia memberi kesan kepada perniagaan dan pemulihan ekonomi.


Berdasarkan penemuan Tinjauan Keadaan Perniagaan FMM-Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia baru-baru ini separuh kedua 2021 yang dijalankan dari 5 Januari – 10 Februari 2022, majoriti responden kajian itu berpendapat kenaikan RM100 dalam gaji minimum adalah kadar yang boleh diterima berdasarkan kepada keadaan ekonomi semasa.


"Sehubungan itu, FMM telah memberi cadangan kepada kerajaan supaya pelarasan gaji minimum dilaksanakan secara berperingkat dengan kenaikan RM100 pada suku ketiga tahun 2022 dan pelarasan seterusnya pada tahun 2023/2024, kenaikan kepada RM1,500," katanya.


Sumber: Bernama

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo