Foto Hiasan Sahaja |
Seorang gelandangan mengalami kecederaan parah dipercayai dipukul sebelum ditemui oleh orang awam di kaki lima di Jalan Persisiran Bunga Raya, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa berusia 40-an ditemui dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri pada jam 7.20 pagi Selasa.
Polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati mangsa masih bernyawa sebelum dibawa Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.
Mangsa disahkan mengalami kecederaan parah di bahagian muka, bibir koyak, pendarahan di kepala dan organ dalaman perutnya pecah. Mangsa ditempatkan di zon merah untuk rawatan dan pemantauan lanjut.
Polis masih belum dapat mengenalpasti identiti mangsa berikutan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada dirinya.
"Kita percaya mangsa telah dipukul, tetapi belum dapat disahkan lagi. Setakat ini kita dapat maklumat terdapat dua lelaki yang dilihat selalu bersama dengan mangsa," katanya.
Pihaknya juga sedang mendapatkan video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari premis berhampiran untuk membantu siasatan.
Sumber: Kosmo, Harian Metro