Slider

'Kepala bayi berada di lubang tandas' - Gadis OKU beranak dalam tandas, dipercayai dirogol

Gadis OKU lahirkan bayi lelaki dalam tandas, mangsa dipercayai telah dirogol ketika ibu bapanya keluar mengambil bantuan zakat.



Seorang gadis OKU (masalah pertuturan) didapati melahirkan bayi lelaki dalam tandas di rumahnya di Kampung Cherang Ruku, Pasir Puteh, Kelantan, Selasa lalu. 


Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, mangsa berusia 18 tahun merupakan OKU dipercayai menjadi mangsa rogol, melahirkan bayinya dalam tandas pada jam 10.40 malam. 


Insiden itu disedari oleh ibunya berusia 36 tahun terus meminta bantuan ahli keluarganya untuk membuat laporan di Balai Polis Cherang, kerana ibu bapa gadis berkenaan sedang menjalani kuarantin (positif Covid-19). 


Difahamkan, ibu mangsa tidak mengetahui anak sulungnya hamil kerana tiada sebarang perubahan fizikal yang ketara, malah mangsa tidak pernah mengadu sebarang masalah. 


"Gadis itu disedari melahirkan bayi lelaki dengan kepala anaknya itu berada di dalam lubang tandas dan sempat diselamatkan ibu mangsa yang melihat kejadian itu," katanya memetik laporan dari Utusan Malaysia. 


Bayi itu kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Cherang Ruku untuk rawatan lanjut. 


Menurut ibu mangsa, anak perempuannya itu tidak pernah keluar rumah melainkan ditemani oleh bapanya. Mei 2021, mangsa pernah ditinggalkan bersama adik beradiknya di rumah kerana ibu bapanya keluar untuk mengambil bantuan zakat di masjid. 


Sebaik saja pulang ke rumah mereka terkejut apabila mendapati mangsa berada di luar rumah dengan pintu terbuka. Sedangkan mangsa tidak pandai membuka pintu sendiri. Ibu bapanya percayai mangsa telah dirogol ketika kejadian itu. 


Polis sedang menjalankan siasatan dan mangsa serta bayinya telah dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk tindakan lanjut. 


Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol. 


Sumber: Utusan Malaysia

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo