Slider

'Kita cuba elakkan dari penyakit ain' - Neelofa tertekan peminat selalu desak upload gambar anak sulungnya

Neelofa tegas dengan keputusan tidak akan memuat naik gambar anak sulungnya kerana mahu mengelak dari penyakit ain.



Sejak dilahirkan pada 10 Februari lalu, sehingga kini pasangan Neelofa dan Haris Ismail masih belum mendedahkan wajah anak sulung mereka, Muhammad Bilal. 


Boleh dikatakan saban hari para peminat dan netizen mendesak pasangan itu memuat naik gambar Bilal untuk diraikan bersama. Tekanan demi tekanan yang diterima membuatkan pasangan itu tertekan. 


Neelofa mengakui dia tertekan akaun media sosialnya setiap hari menerima komen dari netizen yang meminta gambar anak sulung mereka. 


"Saya pun tak boleh nak cakap pada masa depan nanti bagaimana. Lagi pula dengan zaman media sosial sekarang, trend dan sebagainya. Nak kata saya ada ketetapan jawapan untuk itu pun tak ada. 


"Buat masa sekarang, saya nak cuba untuk tidak meletakkan anak saya di bawah limelights itu. Rasanya ini yang terbaik. Saya juga tak menolak, hari-hari ditanya ramai bila nak tunjuk wajah anak dan ia membuatkan saya sedikit tertekanlah juga," katanya memetik laporan dari Utusan Online. 


Menurut Neelofa, keputusan itu dibuat bersama dengan suami dan tidak diketahui sehingga bila keputusan itu diteruskan.


Jelasnya, keputusan itu dibuat kerana mahu mengelak daripada penyakit ain. Ditambah pula dengan dirinya yang belum bersedia berdepan dengan penyakit tersebut. Walaupun begitu, dia tetap mencuba demi melindungi anaknya. 


"Kita cuba elakkan daripada penyakit ain sebab kita tak tahu bukan? Tapi nak cakap saya tak buat langsung itu pun belum pasti. Saya pun mungkin tak cukup kuat untuk buat amalan-amalan menghindari penyakit tersebut, namun sedang mencuba. 


"Tak berani janji yang diri akan jadi sempurna untuk melindungi anak daripada penyakit ain ini. Nauzubillah, kalau nanti terkena pada budak-budak, mak ayah yang akan pening kepala nanti. Jadi kita ambil jalan selamat," katanya. 


Sumber: Utusan Online

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo