Slider

'Memang stail dia begitu, tapi disebabkan pensyarah itu kami jadi kuat, tahan maki' - Bekas pelajar tampil kongsi pengalaman diajar prof viral

Foto Hiasan


Tidak dinafikan ramai netizen meluahkan rasa kesal terhadap pensyarah wanita yang dikatakan menghina pelajar yang tidak mempunyai laptop menyertai kelas onlinenya dan golongan B40 yang dikatakan tidak mengutamakan pendidikan. 


Namun, tampil beberapa individu lain yang mendakwa diri mereka adalah bekas pelajar pensyarah berkenaan, tampil memberi pandangan masing-masing berhubung insiden yang tidak diingini itu. 


Huzairi Salgiman mengakui sememangnya pensyarah yang sedang hangat diperkatakan itu berperwatakan demikian ketika mengajar. Tetapi ketegasannya itu secara tidak langsung menyediakan dirinya berhadapan dengan alam pekerjaan yang lebih mencabar. 


"Aku salah seorang bekas pelajar prof dan universiti tersebut. Sikap dan perwatakan Prof tersebut sewaktu mengajar memang begitu. Sangat tegas dan garang sehinggakan dengar sahaja bunyi tapak kasutnya, kami semua sudah menggelupur duduk diam dalam kelas. Tetapi di luar bilik darjah, InshAllah, mesra untuk disapa. 


"Ketahuilah bahawa herdikan, hinaan, perlian sebegitu adalah secubit sahaja jika nak dibandingkan apabila adik sudah memasuki alam pekerjaan nanti. Jika hal sebegitu pun sudah sentap dan sanggup menyebarkan aib guru, maka 'good luck' lah adik ketika bekerja nanti. 


"Dan sudah pasti majikan juga akan berhati-hati untuk mengambil pekerja sebegini. Zaman kerja lagi kejam dik," katanya menerusi Facebook. 


Dalam pada itu, Huzairi tidak bersetuju dengan cara menyebarkan video tersebut yang dilihat sebagai buli siber terhadap pensyarah berkenaan. 


Mengulas lanjut, isu pelajar tiada laptop walaupun sudah memasuki semester lima tidak sepatutnya berlaku kerana UiTM ada menyediakan dana untuk bantuan laptop bagi pelajar yang tidak berkemampuan. 


"Pusat Zakat UiTM juga ada menyediakan dana untuk membantu golongan ini dan yuran UiTM adalah yang paling murah berbanding IPTA lain. Jadi, agak kehairanan apabila pelajar tersebut langsung tidak mendapat bantuan seawal dari semester 1," katanya. 


Bagaimanapun, Huzairi tidak menolak berkemungkinan pelajar terbabit tidak tahu cara memohon atau tidak berkelayakan. 


Sementara itu, Shaik Shaszari Shaik Sulaiman, turut mengakui perwatakan pensyarah berkenaan sememangnya begitu ketika dia menjadi pelajarnya di UiTM Shah Alam. 


"Memang stail dia begitu. Saya beberapa kali kena baling dengan white board eraser dan marker pen, kena halau keluar kelas sebab lewat beberapa minit, walaupun bagi alasan gempa bumi skala 8. 


"Tetapi disebabkan individu ini (pensyarah viral) la kami bila di pasaran (dah masuk kerja), kami jadi kuat, tahan maki, berusaha buat yang  terbaik, cuba sehabis mungkin," katanya. 


Berhubung kenyataannya yang dikatakan menghina golongan B40, Shaik meminta netizen tidak cepat melatah, sebaliknya berfikir dari luar konteks. Malah, Shaik yakin pensyarah berkenaan tidak berniat menghina sesiapa termasuk orang miskin. 


"Dia pun berasal dari keluarga susah. Ramai pensyarah kami dulu dari keluarga susah bila zaman muda mereka. Silap-silap mereka ini bawah lagi dari golongan B40," ujarnya. 


Walau bagaimanapun Shaik berharap, pensyarah berkenaan cekal menghadapi cabaran yang sedang menduga, kurangkan sifat garang ketika mendidik. 


Sumber: Harian Post, Facebook Huzairi Salgiman

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo