Foto The Borneo Post |
Seorang pengusaha kedai makan di Sarikei yang menjual semangkuk mi sup ikan patin dengan harga RM60 menerima padah lima kali ganda apabila mereka dikenakan kompuan sebanyak RM300.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementeri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarikei, Mohamad Zawawi berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai posting pengadu yang tular di media sosial lalu mengerahkan sepasukan pegawai penguat kuasa dari cawangan itu menjalankan siasatan.
Baca: 'Kedai scammer ni!' - Pelanggan terkejut mi sup dipesannya berharga RM60 semangkuk
"Ketika disiasat, pengusaha itu mengaku menjual mi sup itu dengan harga yang terlalu tinggi. Malah dia juga gagal mempamerkan tanda harga makanan yang ditawarkan di premis itu. Sekali gus melakukan kesalahan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2020," katanya.
Beliau berkata, kompaun RM300 itu dikenakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011.
Zawawi turut menasihati para peniaga supaya ikhlas menjalankan perniagaan seperti memaparkan tanda harga pada barangan yang dijual bagi membolehkan pelanggan membuat keputusan sebelum membeli. Pelanggan juga dinasihatkan sentiasa membuat semakan harga sebelum membeli atau menempah makanan dan minuman.
Orang ramai juga digesa memainkan peranan mereka dalam melaporkan kesalahan yang dibuat oleh pengusaha dengan membuat aduan melalui portal e-Aduan di e-aduan@kpdnhep.gov.my; Pusat Panggilan di 1800-886-800; e-mel e-aduan@kpdnhep@gov.my; atau hadir di pejabat cawangan yang berhampiran.
Sumber: The Borneo Post