Slider

Pensyarah hina B40: 'Sudah hubungi UiTM untuk minta penjelasan' - Menteri

Foto Malay Mail


Kementerian Pengajian Tinggi hari ini menuntut penjelasan dari pihak Universiti Teknologi Mara (UiTM) berhubung video tular di media sosial membabitkan pensyarahnya yang didakwa menghina pelajar dari golongan B40. 


Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Ser Dr Noraini Ahmad berkata, beliau mengambil maklum mengenai isu dan video tersebut dan telah berhubung dengan pihak UiTM untuk mendapatkan penjelasan. 


"Saya ambil maklum mengenai isu dan video yang tular ini. Saya sudah berhubung dengan pihak UiTM untuk meminta penjelasan mereka," ciapnya di Twitter. 



Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor menjelaskan, pihak UiTM amat mengutamakan kebajikan seluruh pelajarnya. Kewujudan UiTM itu sendiri adalah bagi membantu golongan yang tidak berkemampuan menyambung pembelajaran di peringkat tertinggi, termasuk membantu golongan B40. 


Mengulas mengenai video tular tersebut, Roziah berkata pihaknya sudah meneliti dan mengambil tindakan pantas dan sewajarnya terhadap pensyarah berkenaan. 


"UiTM juga bertegas tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjatuhkan nama baik universiti dengan sengaja mahupun tidak," katanya. 


Justeru, Roziah menyeru mana-mana pelajar UiTM yang berhadapan dengan sebarang masalah tampil berhubungi dengan pihak falkulti dan universiti untuk mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan sewajarnya. 


"Pihak universiti juga sudah menyediakan pelbagai dana untuk kegunaan pelajar yang kurang berkemampuan bagi mendapatkan kemudahan pembelajaran seperti dana amanah pelajar, bantuan pusat zakat serta pihak alumni. 


"Saya menyeru kepada pelajar yang berhadapan dengan masalah tampil berhubung dengan pihak falkulti dan universiti untuk mendapatkan bantuan yang sewajarnya bagi membantu melancarkan proses pembelajaran," katanya. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo