Slider

Ramai pengguna tak puas hati, Ayam Gunting naik harga RM9



Menjelang endemik, tidak dinafikan ramai peniaga yang mula menaikkan harga barangan. Ditambah pula Putrajaya baru-baru ini mengumumkan pintu sempadan negara akan dibuka pada 1 April ini dan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 mulai 1 Mei. 


Biarpun pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah memberi amaran kepada peniaga agar tidak menaikkan harga sesuka hati, amaran itu tidak diendahkan. 


Baru-baru ini, tular pula di media sosial di mana pengguna mengadu harga makanan segera 'Ayam Gunting' semakin meningkat sehingga ada yang menjual makanan itu pada harga RM15. 


"Ada mana-mana peniaga yang menjual ayam gunting tampil jelaskan mengapa ayam gunting kini dijual pada harga RM9?" soal Abeyricano di Twitter yang menarik perhatian netizen terutamanya penggemar ayam gunting. 



Beberapa minggu lalu media melaporkan, Brazil mengalami masalah kekurangan tenaga pekerja bagi menghasilkan bekalan makanan ayam berasaskan jagung disebabkan wabak Covid-19 masih menular di negara itu. 


"Ayam mahal bang. Isi ayam je 2 kilogram berharga RM26 walaupun dibeli dari pembekal," kata Miraish. 


"Dedak naik harga dua kali ganda menyebabkan ayam mentah mahal. Beli ayam mengikut bahagian lagi mahal. Peniaga kena jual mahal sebab kos tinggi," kata Sid. 


"Kenapa naik harga sampai RM9? Sebab harga barang naik. Aku pun mengeluh kenapa mahal? Dulu RM7, sekarang... Tak boleh marah diorang sebab diorang pun nak untung. Entah-entah balik modal je. Bayangkanlah kalau jual ayam gunting harga RM7 pada masa ni," kata Zamilmile. 


"Bukan saja nak naikkan harga, itu pun dah rasa serba-salah nak naikkan sebab risau pelanggan complaint macam ni la. Beli dari pembekal pun dah mahal. Barang pula, semua naik harga. Dengan minyak pun susah nak dapat sekarang. Kitorang yang penjual pun kadang dapat untung ciput je," kata Ainul. 


Sementara itu, Presiden Ayam Gunting Malaysia, Pijan Razali menjelaskan, setiap peniaga mempunyai strategi masing-masing. 


"Bagi saya sebagai peniaga, ikutlah kebijaksanaan dan strategi masing-masing. Gunakanlah kebijaksanaan dalam mengira kos operasi. Yang penting, terpulang kepada para pelanggan nak membeli yang mahal, sederhana, murah atau percuma sekalipun, janji mereka happy," katanya.


Sumber: Twitter Abeyricano

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo