Slider

Rosmah Mansor beli kalung berlian pink bernilai RM97.2 juta buatan Lorraine Schwartz



Juri dalam kes perbicaraan kes bekas ketua pelaburan perbankan Goldman Sachs di Malaysia, Roger Ng, akhirnya berpeluang melihat bukti kukuh mengenai pembelian barang kemas yang dibeli menggunakan wang dicuri dari skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 


Perkara itu didedahkan di Mahkamah Persekutuan Brooklyn pada Rabu yang turut mengaitkan penglibatan Datin Seri Rosmah Manosr, isteri kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang membeli kalung berlian merah jambu bernilai AS$23 juta (RM97.2 juta), hasil buatan Lorraine Schwartz. 


Juri bagaimanapun tidak ditunjukkan gambar atau kalung tersebut, sebaliknya hanya diberi bukti resit pembelian. 


Schwartz yang pernah mereka barang kemas untuk selebriti antarabangsa seperti Adele, Beyonce dan banyak lagi dikatakan mungkin akan menjadi saksi dalam kes itu. Tetapi dia sebaliknya hanya memberi kenyataan yang telah dimasukkan pendakwa raya sebagai rekod rasmi mahkamah. 


Difahamkan, Jho Low pada Jun 2013 menghubungi Schwarz untuk meminta dia mereka kalung berlian merah jambu dengan permata berbentuk hati khas untuk Rosmah. 


Menurut Schwartz, Rosmah telah meminta berlian 18 karat, namun dia hanya mempunyai berlian merah jambu 22 karat dan urus niaga akhirnya dicapai untuk pembelian batu permata bersaiz lebih besar. 


Schwartz kemudian menyerahkan sendiri kalung itu kepada Rosmah di atas sebuah kapal layar bersama Jho Low di luar pantai Monaco. 


Tahun seterusnya, 2014, Rosmah dilaporkan turut membeli barang kemas tambahan bernilai AS$1.3 juta (RM5.5 juta).


Pihak pendakwaan juga mengemukakan kepada juri bagaimana berbilion dolar dialihkan daripada tiga transaksi bon 1MDB berjumlah AS$6.5 bilion (RM27.5 bilion) oleh Jho Low yang digunakan untuk membeli barangan mewah. 


Jho Low turut didakwa mengalihkan dana daripada 1MDB kepada teman rapatnya, Riza Aziz, anak tiri Najib untuk membantunya menerbitkan filem The Wolf of Wall Street yang dibintangi Leonardo DiCaprio. 


Juri juga ditunjukkan gambar sarung plastik DVD filem tersebut dan tangkapan layar yang menunjukkan ucapan terima kasih kepada Jho Low atas 'sokongannya' pada bahagian akhir filem berkenaan. 


Pada 2018, syarikat penerbitan, Red Granite milik Riza pernah bersetuju untuk membayar AS$60 juta (RM253 juta) untuk menyelesaikan tuntutan dikemukakan Jabatan Kehakiman AS yang menuduh dia membiayai filem itu dengan wang dicuri daripada 1MDB.


Pendakwa raya mendakwa sebuah entiti yang dikawal Jho Low juga menggunakan dana 1MDB untuk membeli lima karya seni bernilai AS$58.3 juta (RM246.4 juta) daripada rumah lelongan Christie termasuk hasil lukisan Jean-Micel Basquiat digelar 'Dustheads' yang bernilai AS$51.8 juta (RM218.9 juta).


Bukti pembelian ditunjukkan menerusi invois yang dikemukakan kepada juri selain lakaran kecil lukisan 'Dustheads' tersebut.


Difahamkan, Roger Ng menjadi satu-satunya bekas pegawai Goldman yang dibicarakan selepas didakwa bersubahat dengan bekas bosnya, Tim Leissner untuk membantu Jho Low menyeleweng berbilion dolar daripada tiga urus niaga bon yang dilakukan bank tersebut untuk dana kekayaan Malaysia.


Jho Low juga turut didakwa bersama Roger Ng dalam kes penipuan tersebut.


Leissner bagaimanapun mengaku bersalah dan menjadi saksi utama kes berkenaan.


Sehingga kini, AS belum mengemukakan sebarang pendakwaan ke atas Najib atau Rosmah. - Bloomberg, Sinar Harian

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo