Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dilaporkan telah memanggil produksi drama Perempuan Itu, termasuk Zul Ariffin dan Siti Hariesa, susulan tular video babak panas yang dimuat naik pelakon lelaki itu di Instagramnya baru-baru ini.
"Dari sudut panduan agama (Islam), budaya seperti itu tidak sepatutnya dibawa masuk ke negara ini yang berpegang teguh kepada ajaran Islam dan budaya timur," kata Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Ahmad Marzuk Shaary.
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu juga memberi peringatan kepada semua pemain industri hiburan bahawa mereka perlu sentiasa peka dengan perkara itu dan menghindari perkara yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.
Sementara itu, Zul Ariffin melalui Instagramnya hari ini telah tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kerana memuat naik video babak panas itu.
"Dengan hati terbuka, saya ambil maklum d atas semua respons dari banyak pihak berkenaan klip video yang dipaparkan sebelum ini.
"Saya memohon maaf kepada semua yang terkesan dari tindakan memuat naik video berkenaan.
"Selepas ini saya akan lebih meneliti dan berhati-hati untuk memuat naik sebarang bahan yang diberikan kepada saya untuk dipromosikan di media sosial," katanya.
Zul Ariffin terdahulu dikecam teruk oleh netizen kerana memuat naik babak panas bersama Siti Hariesa dalam drama Perempuan Itu yang bakal ditayangkan di TV3 di bulan ramadan.
Sumber: Instagram Zul Ariffin, Sinar Harian