Slider

Syarikat nafi produk cincin sotong diperbuat dari dubur babi, akan saman 2 netizen yang sebar fitnah

Kesal difitnah, syarikat pengeluar produk cincin sotong akan saman dua netizen yang sebar fitnah

Foto Malaysiakini


Kesal produk sejuk beku cincin sotong yang difitnah kononnya produk itu diperbuat daripada dubur babi seperti yang viral di media sosial baru-baru ini, syarikat pengeluar produk berkenaan tampil menafikan dakwaan tidak berasas itu. 


Dalam sidang media yang diadakan pada jam 11 pagi tadi, syarikat terbabit berkata pihaknya telah mengenal pasti dua netizen yang menyebarkan fitnah tersebut di Facebook sehingga mencetuskan kebimbangan pengguna, sekali gus merosakkan imej serta jualan produk.


Ketua Pegawai Eksekutif Shen Hua Resources, Rodney Soon berkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap dua netizen terbabit yang telah menyebabkan mereka mengalami kerugian besar. 


Satu laporan polis juga telah dibuat berhubung fitnah yang dilemparkan terhadap produk tersebut. Pihaknya juga menggesa polis dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menyiasat dan membersihkan nama syarikat itu di bawah akta Komunikasi dan Multimedia 1998, termasuk membuat pendakwaan terhadap mereka yang terlibat kerana memfitnah. 


Dalam sidang media itu, media turut ditunjukkan proses penghasilan cincin sotong dan sijil halal yang diperoleh untuk produk tersebut dari Shandong Halal Certification Services Sdn Bhd yang dilantik oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai badan pensijilan halal asing di China. 


Rodney turut meluahkan rasa kesal terhadap siasatan yang dilakukan JAKIM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terhadap produk mereka di beberapa negara dengan mengambil sampel untuk ujian, tetapi tidak mengeluarkan sebarang laporan mengenai hasil ujian menyebabkan syarikat mereka tidak dapat menafikan fitnah netizen itu. 


KPDNHEP juga telah memanggil peniaga untuk disoal siasat dan tindakan itu disifatkan sebagai satu gangguan yang tidak adil kepada mereka. 


Sumber: MalaysiaKini

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo