Slider

'Terpaksa buang rasa malu ambil sumbangan barang sekolah untuk anak' - Golongan T20 & M40 akui turut terjejas

Foto Utusan Online


Beberapa hari sebelum sesi persekolahan dibuka, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dengan kerjasama biro kebajikan Penglibatan Ibu Bapa Komuniti Sekolah (PIBKS) SK Seri Permai, Pulau Pinang, menganjurkan program sumbangan pakaian dan peralatan sekolah terpakai untuk kegunaan anak-anak, selama tiga hari. 


Program tersebut pada awalnya menyasarkan golongan B40, namun pihak penganjur tidak menyangka program yang baru pertama kali dibuat itu turut mendapat sambutan dari golongan M40 dan T20. 


Yang Dipertua PIBG SK Seri Permai, Sharizal Md Noor berkata, "Kami menyediakan lebih 40 barangan kelengkapan baharu dan pakaian sekolah terpakai hasil sumbangan para ibu bapa. Tidak sangka program ini mendapat sambutan terutama daripada golongan M40 dan T20. 


"Kami terbuka kepada semua waris dan tiada halangan unttuk mereka mengambil dalam kuantiti yang banyak. Ambillah apa yang mereka mahukan demi meringankan beban kewangan," katanya. 


Waris pelajar golongan M40 dan T20 berkata, mereka tidak berasa malu apabila turut bersama golongan B40 mengambil sumbangan berkenaan kerana mereka terdesak mahukan bantuan persekolah kali ini bagi meringankan beban yang ditanggung susulan pandemik Covid-19 telah menjejaskan kewangan mereka. 


Pemandu e-Hailing, Khairul Nizam Mohamad, 43, berkata, tiada istilah menggayakan pakaian dan kelengkapan sekolah baharu pada hari pertama persekolahan untuk enam anaknya yang terpaksa memakai semula pakaian atau barangan sedia ada.


"Saya akui terpaksa meminjam wang daripada keluarga bagi melancarkan urusan pembelian buku, memandangkan gaji diterima setiap hujung bulan," katanya. 


Sementara itu, seorang lagi waris, Faizah Shaari, 41, merupakan pekerja swasta berkata, dia terpaksa membuang rasa malu untuk mengambil sumbangan itu untuk dua anaknya berusia 10 dan 12 tahun kerana dia hanya menerima gaji pokok bulan lalu, tidak menerima wang tuntutan kerja lebih masa kerana perlu menjaga anak yang positif Covid-19. Suaminya pula telah diberhentikan kerja. 


"Saya ambil barang keperluan penting seperti pakaian sekolah, baju sukan, kasut dan beg untuk anak. Jika dibeli, mungkin semuanya berharga lebih RM200," katanya yang juga memuji usaha pihak PIBG menganjurkan program tersebut yang sememangnya telah dinanti-nantikan. 


Sumber: Utusan Online

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo