Slider

Wanita dibakar oleh teman lelaki selepas putuskan hubungan kerana tidak mahu berkahwin dengan suami orang

Diana Ningsih dibakar kekasih selepas putuskan hubungan kerana tidak mahu berkahwin dengan suami orang

Foto Tribun News


Seorang anggota polis nekad membakar teman wanitanya sehingga mengalami luka melecur di seluruh badan dalam kejadian yang berlaku pada jam 10 malam Khamis, 10 Mac lalu di rumah sewa rakan mangsa di Kabupaten Muara Enim, Sumatera Selatan, Indonesia. 


Mangsa, Diana Ningsih, kini sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) hospital kerana mengalami luka terbakar 80 peratus. 


Menurut sumber, suspek dan mangsa telah menjalinkan hubung selama beberapa tahun. Namun, status suspek akhirnya terbongkar apabila mangsa mengetahui teman lelakinya itu sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak. Malah, isteri suspek sedang sarat mengandung. 


Selepas berbincang dengan keluarga dan berfikir masak-masak, mangsa mengambil keputusan untuk mengakhiri perhubungan mereka. Suspek tidak dapat menerima hakikat itu, terus berusaha menghubungi dan mencari mangsa. Tetapi segala panggilan suspek tidak diendahkan oleh mangsa. 


Tidak mahu hidupnya terus diganggu oleh suspek, Diana menumpang di rumah sewa rakannya, Dea, 27. Malangnya, tempat persembunyian Diana dapat ditemui oleh suspek yang kemudian datang ke rumah itu pada jam 10.30 malam semasa wanita itu sedang tidur. 


Berang hasrat untuk bertemu tidak kesampaian, suspek mematikan bekalan elektrik rumah menyebabkan Dea terbangun lalu memanggil Diana untuk menemaninya keluar memeriksa kotak fius. 


Sebaik saja pintu dibuka, mereka terkejut melihat suspek berada di depan pintu. Suspek terus menyiram minyak petrol yang dibawanya ke badan mangsa sambil memaki hamunnya. 


Dea cuba meredakan pasangan itu kerana tidak mahu jiran-jiran berdekatan terganggu. Tetapi permintaan itu tidak diendahkan, bahkan suspek mengancam akan menyimbah minyak pada Dea. 


Selepas dua kali menyiram minyak pada badan mangsa, suspek masih berterusan memarahi mangsa sambil menyalakan api dan sesekali dipadamkan. Perbuatan suspek mengundang padah apabila percikan api itu menyambar tubuh mangsa yang telah disiram minyak.


Suspek yang terkejut terus segera menarik badan mangsa dan memeluknya untuk memadamkan api tersebut sebelum mangsa dibawa ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan. Setelah diberi rawatan awal, suspek yang juga mengalami kecederaan di tangan dan muka terus beredar meninggalkan mangsa untuk pergi mendapatkan rawatan di hospital.


Sementara itu, ibu mangsa berharap suspek akan dikenakan hukuman setimpal. Yuniha, 50, tidak dapat menerima apa yang berlaku kepada anaknya dan akan berusaha menuntut keadilan untuk Diana. 


"Tangkap suspek yang bakar anak saya, hukum dia selama-lamanya. Tolong tuan, kami ini mangsa, bukan suspek," ratap Yuniha. 


Jurucakap polis, Eko Sumaryanto mengesahkan suspek merupakan anggota polis. Pihak polis akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap suspek.

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo