Slider

'Ya Allah, akak ni orang Islam kot tahu hukum' - Pelanggan kesal, SOP Surau IKEA Cheras buat ramai yang terlepas solat Maghrib



Petang Sabtu lalu kira-kira jam 7.40 malam, surau IKEA Cheras dikatakan sesak berikutan ramai pengunjungnya mahu menunaikan solat Maghrib. Kesesakan itu dikatakan berpunca dari prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan hanya membenarkan empat pengunjung berada dalam surau pada satu masa.


Disebabkan SOP tersebut, ramai pengunjung dikatakan terlepas waktu solat Maghrib dan hal ini menimbulkan rasa tidak puas hati pengunjungnya. 


Menceritakan mengenai apa yang berlaku melalui Facebook, Wan Wasabi berkata, "Jam 7.40 malam saya sampai di Surau Ikea, barisan dah panjang. Terpampang nombor empat di SOP IKEA. Ya, cuma empat orang dibenarkan solat dalam satu masa. 


"Tunggu, tunggu dekat jam 8 malam, (barisan) memang tak bergerak sangat. Saya bertanya pada guard yang menjaga surau, boleh tak tambah sikit orang sebab saya tahu ruang di dalamnya besar. 10 orang sekali boleh masuk dan masih dapat mengamalkan penjarakan sosial. 


"Tetapi dia menggeleng kepala. Terus saya mengambil wudu di tandas dan solat di tepi vending machine," katanya. 


Di barisan wanita pula masih panjang dan langsung tidak bergerak dan wajah-wajah mereka mula kelihatan resah kerana bimbang terlepas waktu Maghrib. Enggan melihat keadaan itu berlaku, Wan sekali lagi meminta pengawal keselamatan IKEA menambah kapasiti dalam surau. Malangnya jawapan tetap sama. 


Hal itu membuatkan Wan meminta pengawal keselamatan berkenaan menghubungi orang atasannya untuk datang berbincang sebelum tampil seorang kakitangan wanita yang bertanya mengenai apa yang telah berlaku. 




Wan kemudian menjelaskan kapasiti kemasukan ke dalam surau perlu ditambah, tetapi jawapan yang diterima dari kakitangan itu amat mengecewakannya di mana Wan diminta untuk membuat aduan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 


Tidak berputus asa, Wan menunjukkan SOP dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuatkan reaksi kakitangan IKEA itu berubah dan terus berkata dia tidak dapat melakukan apa-apa kerana SOP telah ditetapkan oleh IKEA. 


"Saya tak boleh buat apa. Ini surau kami, kami buat SOP sendiri. Semua company sudah tetapkan. Saya kisah (orang tertinggal solat) tetapi saya tak boleh buat apa-apa," jelas kakitangan berkenaan. 


"Jadi, saya bercakap dengan puan ni, useless lah? Saya boleh bercakap dengan siapa untuk benarkan orang solat ni?" soal Wan. 


"Tak ada siapa. Kalau tahu nak solat, lain kali datanglah awal. Kami buat ni sebab Omicron naik," kata kakitangan IKEA. 


Wan menjelaskan mereka sudah beratur hampir satu jam dan sudah ramai pelanggan IKEA menunggu giliran masing-masing. Malah, Wan turut mempertikaikan mengapa pihak IKEA membenarkan orang beratur di food court tanpa penjarakan sosial dan tiada had pelanggan berbanding SOP di surau. 


Foto sebelum pandemik - Open Rice


"Jadi kenapa tak buat benda yang sama di surau? Kenapa perlu kawal seperti ini? Kenapa tak buat pengumuman saja? Kenapa nak kena tahan orang macam ni?" soal Wan. 


"Tak dengar ke kami buat pengumuman penjarakan sosial? Ini surau kami (IKEA), kami tentukan SOP yang sesuai. Saya tak boleh buat apa-apa," ujar kakitangan IKEA. 


Kekecohan itu membuatkan para pengawal keselamatan mula mengerumuni mereka. Dalam masa yang sama ada beberapa pengunjung mengambil peluang untuk masuk ke surau beramai-ramai. Salah seorang wanita tidak sempat masuk kerana ditahan pengawal keselamatan. 


"Ni kakak ni, bagilah dia masuk. Seorang je pun. Lagi berapa minit je lagi dia nak solat. Dia memang terlepas maghrib ni. Kesianlah," kata Wan.


"Tak boleh, kena tunggu. Dalam dah penuh. Saya tak boleh buat apa-apa. Kalau terlepas, qada' la," balas kakitangan IKEA.


"Ya Allah kak. Akak ni orang Islam kot, tahu hukum. Akak benarkan dia solat, tak kurang apa pun. Apa ni, IKEA tak ada sistem customer servis untuk selesaikan masalah senang macam ni," kata Wan lagi. 


"Saya tak boleh buat apa. Ini surau kami, ikut kami nak buat SOP macam mana. Kalau nak complain, sila tulis e-mel," balas kakitangan IKEA. 


Pengawal keselamatan yang lain kemudian meminta pengadu membuat aduan melalui emel. Tetapi Wan menjelaskan dia sedang membuat aduan kepada kakitangan IKEA di hadapannya tetapi tidak berguna kerana mereka tidak dapat melakukan apa-apa. 


Melihat keadaan semakin tegang, Wan ditarik oleh ibunya daripada terus bertelagah. Wan yakin, disebabkan SOP IKEA Cheras itu, ada ramai yang terlepas waktu Maghrib. Ketika beredar, Wan mendakwa dia sempat mendengar kakitangan IKEA itu melemparkan kata berikut, "Datang rumah orang, buat kecoh pula". 


Tetapi dia enggan melayan barannya dan pulang ke rumah membuat aduan secara emel yang sehingga kini katanya masih belum mendapat maklum balas dari syarikat perabot terkemuka itu. 


Sementara itu di Facebook rasmi IKEA Malaysia, ada ramai netizen yangg mula membanjiri ruangan komen dengan angka empat sebagai tanda protes terhadap SOP surau IKEA. Tiada sebarang kenyataan daripada IKEA berhubung isu yang dibangkitkan.


Reaksi netizen di Facebook Ikea Malaysia


Sumber: Facebook Wan Wasabi

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo