Slider

3 pelajar maut ketika merempit di waktu orang Kampung Satan sedang solat terawih



Tiga pelajar sekolah dilaporkan maut, manakala seorang lagi mengalami kecederaan parah selepas kesemua mangsa terbabit dalam kemalangan ketika sedang berlumba haram tatkala umat Islam sedang mengerjakan solat terawih di Jalan Kampung Sungai Satan - Jalan Malaysia, Isnin lalu. 


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, kejadian itu berlaku pada jam 9 malam yang menyebabkan Muhammad Nordanial Izuan Izaraman, 15, maut serta-merta di lokasi. 


Dua lagi rakannya, Muhamad Firdaus Mohd Azli, 15, dan Ahmad Tahfiz Irfan Ahmad Nasri, 14, pula disahkan meninggal dunia di Hospital Jeli ketika menerima rawatan. Manakala seorang lagi rakan mereka, Muhammad Aidil Darwisy Mohammad Azhary, 15, parah di bahagian kepala dan sedang menerima rawatan di hospital yang sama. 


Siasatan awal pihaknya mendapati, keempat-empat remaja terbabit dipercayai sedang berlumba di jalan kampung tanpa memakai topi keledar. Masing-masing menunggang motosikal jenis SYM Bonus, Honda EX5, Modenas Kriss dan Demak Evo Z. 


Perlumbaan haram itu dikatakan bermula dari arah Kampung Satan menuju ke Jalan Malaysia yang tidak mempunyai lampu jalan. Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang salah seorang mangsa bergesel sesama sendiri sebelum berlaku perlanggaran. 


Kemalangan yang tidak diduga itu menyebabkan salah seorang mangsa maut di lokasi kejadian, manakala tiga lagi rakannya dihantar ke Hospital Jeli untuk mendapatkan rawatan kecemasan sebelum pihak hospital memaklumkan dua lagi mangsa meninggal dunia.


Sumber: Kosmo! Online

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo