Slider

'Anak dah longlai, badan pun dah sejuk' - Budak maut dihempap tiang batu



Seorang kanak-kanak berusia empat tahun dilaporkan meninggal dunia akibat dihempap tiang batu dalam kejadian pada jam 7 malam kelmarin di kediaman keluarganya di Kampung Bukit Nangka, Alor Gajah, Melaka. 


Mangsa, Nur Iman Irdina, ditemui dalam keadaan berlumuran darah oleh ibunya, Aznynaqiah Mat Ali, 44, di beranda rumah. 


Difahamkan, Aznynaqiah ketika itu sedang sibuk menyiapkan juadah berbuka puasa di dapur, manakala mangsa bermain seorang diri di kawasan beranda.


Tiba-tiba, Aznynaqiah terdengar bunyi runtuhan yang kuat, lalu bergegas mendapatkan anaknya dan mendapati mangsa telah dihempap tiang batu tersebut. 


Mangsa segera dikejarkan ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan. Bagaimnanapun doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia. 


Menurut Aznynaqiah, tiang batu itu sudah retak sejak 10 tahun lalu tetapi keadaannya tidak membahayakan sesiapa. Malah abang iparnya ada merancang mahu membaiki tiang tersebut pada Sabtu ini. 


"Jarak dapur dengan beranda cuma 10 meter saja sebelum saya dikejutkan dengan bunyi runtuhan yang kuat. Saya bergegas melihat keadaan anak dan terkejut melihat kepala dan belakang badannya berlumuran darah bersama dengan tiang batu yang menghempapnya itu. 


"Waktu itu anak sudah longlai dan ketika dalam perjalanan ke hospital pun, mak yang memangku Baby Dina merasa belakang badannya sejuk. 


"Sebaik tiba di hospital, doktor cuba menyelamatkannya selama 20 minit, tetapi gagal dan mengesahkan Baby Dina telah meninggal dunia," katanya.


Hasrat Aznynaqiah menyambut ulangtahun kelahirannya pada 28 April nanti, bersama Baby Dina dan yang lain juga tidak kesampaian kerana Allah lebih menyayangi anak perempuannya itu. 




Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo