Slider

'Bella dibogel, diikat, dicurah dengan air panas & dilayan seperti hamba abdi oleh Siti Bainun' - Saksi

Siti Bainun | Foto Malaysia Now


Lagi pendedahan kes dera membabitkan remaja Sindrom Down, Bella. Lapor Harian Metro, pengasas Rumah Bonda iaitu Siti Bainun Ahd Razali mula tidak menggemari mangsa berpunca daripada satu kejadian di mana mangsa tertarik langsir sehingga menyebabkan besi langsir itu tercabut. 


Menurut penghuni rumah kebajikan itu yangg juga saksi pendakwaan kelima, Yasmin Nahar Mahmood berkata, sikap Siti Bainun mula berubah dengan memarahi Bella sehingga sanggup memukulnya. 


"Bella pernah masuk bilik kedua iaitu bilik yang menempatkan saya dan penghuni lain. Bella tertarik langsir sehingga besinya tercabut. Selepas kejadian itu, Bainun jadi marah dan pukul Bella," dedahnya. 


Yasmin juga mengakui pernah diarah oleh Siti Bainun untuk membogelkan mangsa dan diikat dengan tali, kemudian dibaringkan dan dicurah dengan air panas. 


"Saya diarahkan Siti Bainun untuk memastikan Bella tidak bergerak dan dia menyasarkan di bahagian tertentu sebelum dicurah air. Ia menyebabkan ada kesan parut di bahagian paha kanan, pergelangan kaki dan lutut Bella," katanya. 


Dalam prosiding kelmarin, Yasmin mendedahkan Bella didera oleh Siti Bainun setiap hari hampir empat bulan yang berlaku pada setiap malam sejak Mac 2021 hingga 24 Jun 2021. 


Siti Bainun bagaimanapun mengaku tidak bersalah di atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi, di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021. 


Siti Bainun didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. Jika sabit kesalahan, boleh didenda RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali. 


Yasmin juga bersetuju dengan cadangan peguam Asiah Abd Jalil yang mewakili Siti Bainun bahawa, Bella dicurah dengan air panas sebanyak tiga kali sehari dengan menggunakan picagari dan cawan. Yasmin berkata, dia sendiri yang mengambil air panas itu daripada alat penapis air di mana airnya mengeluarkan wap. 


Mahkamah turut ditunjukkan oleh Yasmin, video yang menunjukkan Bella dilayan seperti 'hamba abdi' oleh Siti Bainun. 



Peguam Nur Aminahtul Mardiah Md Nor, yang mewakili Siti Bainun kemudian bertanya siapakah yang dipeluk oleh Bella paling lama dalam video Aidilfitri pada 22 Mei 2021. Yasmin menjawab, Siti Bainun. Yasmin juga menjawab 'ya' ketika ditanya sama ada Bella tidak takut dan peluk penderanya dengan kuat. 


Peguam Nur Aminahtul turut menyenaraikan 10 keterangan Yasmin yang disifatkan mengandungi unsur penipuan, antaranya Bella dikatakan asyik terjatuh apabila berjalan kerana kakinya lemah akibat selalu didera. Tetapi klip video yang ditunjukkan hari ini menunjukkan Bella berjalan seperti biasa. 


Yasmin bagaimanapun menafikan keterangan yang diberikannya itu adalah palsu. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo