Slider

Cikgu buat live di TikTok ketika mengajar, undang kritikan banyak pihak



Beberapa hari lalu tular di media sosial isu mengenai segelintir guru membuat siaran langsung di TikTok semasa sedang bertugas, dikritik oleh 'rakan sejawat' atas beberapa sebab yang munasabah. 


Menurut pengguna Twitter, Tai Tai, yang juga merupakan guru mempersoalkan tindakan 'Cikgu NN' membuat siaran langsung melalui TikTok, sedangkan seorang guru itu katanya sepatutnya memberi perhatian 100 peratus ketika mengajar, bukannya fokus pada telefon.




"Cikgu mengajar live. Boleh ke tak boleh? Mak ayah setuju cikgu-cikgu mengajar live? Bila komen, terus kena block. Sekolah mana ni? PPD tolong ambil tindakan dekat cikgu-cikgu yang buat TikTok atau Facebook live semua ni. This is unacceptable. Your focus should be 100% in class!


"Bila komen, kawan dia belakang tu kata, 'Kenapa tak boleh mengajar live? Ramai je cikgu mengajar live?'. Ramai = dibenarkan ke? Masa mengajar mata (tertumpu) ke arah kamera. Fokus ke tu?" katanya. 




Jelas Tai Tai lagi, ibu, kakak dan dirinya merupakan guru dan mereka tidak menormalisasikan kaedah pengajaran dan pembelajaran secara live melalui TikTok.


Difahamkan, Tai Tai ada memuat naik komen pada live guru terbabit, "Tak boleh live sebenarnya, tak fokus" dan kedua-dua guru dalam video TikTok itu tidak menyangka tindakan mereka itu adalah salah. 


"Saya bukan orang yang pertama komen seperti itu. Ramai lagi yang menyuarakan pandangan yang sama tetapi dia (Guru TikTok) bertindak menyekat mereka. 


"Dia cikgu senior dan dia sepatutnya menetapkan standard yang tinggi untuk guru," ujarnya. 


Isu itu juga menarik perhatian pihak Kementerian Pendidikan (KPM) yang mengeluarkan kenyataan bahawa kakitangan guru adalah dilarang menggunakan media sosial untuk tujuan peribadi semasa waktu pejabat sama ada menggunakan peralatan pejabat atau peribadi.


"Ruangan komen bukan murid yang tonton. Pekerja oil and gas pun ada. KPM akan siasat," katanya. 



Dalam satu kes berasingan pula, seorang guru wanita juga melakukan perkara yang sama dengan kenyataan yang tidak sewajarnya.


"Bila kau dapat relief (jadi guru ganti) kelas depan, auto mood elok," tulisnya di aplikasi TikTok. 



Perbuatan dan kenyataan guru berkenaan mengundang kritikan netizen yang dianggap bukan sahaja mencemarkan imej guru, malah didakwa tidak profesional kerana memberi tanggapan yang negatif terhadap pelajar 'kelas belakang' yang selalu dianggap kumpulan pelajar lemah dalam akademik serta bermasalah dari segi disiplin dan kelakuan.


"Sangat tidak profesional. Jadi kita tahulah kan, cikgu-cikgu memang tak suka dan tak akan suka dengan budak kelas belakang. 


"Masih ada lagi ke pengasingan budak lemah dan budak pandai? Ingatkan dah lama tak ada," komen dari netizen.




Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) turut menasihatkan golongan pendidik tidak menyalahgunakan aplikasi TikTok untuk mempopularkan diri. 


Presiden NUTP, Aminuddin Awang berkata, pihaknya menyokong sekiranya aplikasi seperti TikTok digunakan untuk tujuan pembelajaran tetapi bukan secara langsung di dalam kes secara bersemuka. Perbuatan itu adalah salah jika dilakukan semasa waktu bekerja, apatah lagi jika ia lebih bersifat kepada mempopularkan diri. 


"Hal ini amat tidak sihat dan menyalahi peraturan serta patut dihentikan. Demi menjaga imej profesion perguruan, pihak pentadbir sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah perlu bertindak tegas," katanya. 


Guru sepatutnya memberi tumpuan sepenuhnya kepada murid yang berada di depan mata secara fizikal. Mereka juga perlu patuh kepada garis panduan berkaitan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan.


Apa pandangan anda? Kongsikan di Facebook, Instagram The Reporter


Sumber: Twitter Tai Tai, Bernama, mStar Online

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo