Slider

Dakwaan Bella dicurah air panas, dipaksa makan cili adalah rekaan semata-mata - Peguam Siti Bainun

Foto Utusan Malaysia


Dalam prosiding kes kanak-kanak perempuan sindrom down,  Bella, yang dilaporkan didera oleh pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, hari ini di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menyaksikan peguamnya menegaskan saksi pendakwaan kelima, Yasmin Nahar Mahmood, 19, mereka cerita. 


Selain itu, Peguam Nur A'minahtul Mardiah Md Nor, juga mendakwa Yasmin dan bapanya telah dibayar di luar mahkamah oleh individu mendesak keadilan untuk Bella. 


Yasmin bagaimanapun menafikan semua dakwaan itu, termasuk dakwaan dia kononnya telah dibayar untuk memberi keterangan palsu di mahkamah. 


Berikut transkrip pemeriksaan balas di antara Nur A'minahtul Mardiah dan Yasmin: 


Nur A'minahtul: Jumaat lepas, Yasmin ada beritahu dan katakna kepada mahkamah ini bahawa Bella takut dengan Bainun. Keluar bilik pun tengok kiri dan kanan. Setuju?


Yasmin: Setuju


Nur A'minahtul: Dan Yasmin ada kata dalam video tersebut, Bella peluk Siti Bainun paling lama. Setuju?


Yasmin: Setuju.


Nur A'minahtul: Yasmin juga setuju bahawa Bella tidak takut kepada Siti Bainun. Setuju? 


Yasmin: Setuju. 


Nur A'minahtul: Kenyataan Bella takut dengan Siti Bainun, nak keluar bilik pun tak anak, tengok kiri kanan. Yasmin dapat daripada siapa? 


Yasmin: Daripada pemerhatian (sepanjang berada di rumah itu). 


Nur A'minahtul: Saya katakan melalui video tersebut, Bella tidak ada langsung rasa takut kepada Siti Bainun sepertimana Yasmin setuju Jumaat lepas, betul? 


Yasmin: Betul. 


Nur A'minahtul: Saya katakan melalui video tersebut, Bella tidak ada langsung rasa takut kepada Siti Bainun sepertimana Yasmin setuju Jumaat lepas. Betul? 


Yasmin: Betul. 


Nur A'minahtul: Dan saya katakan ini adalah penipuan Yasmin ke-11 di mahkamah ini. Setuju?


Yasmin: Tidak. 


Nur A'minahtul: Dan saya cadangkan, Yasmin menipu daripada hari pertama beri keterangan di mahkamah ini, yang pertama sebabnya kerana Yasmin mahu memastikan Bainun dimasukkan dalam penjara. Setuju?


Yasmin: Tidak.


Nur A'minahtul: Yang kedua, Yasmin takut kena dakwa di mahkamah nanti. Setuju?


Yasmin: Tidak. 


Nur A'minahtul: Ketiga, ada orang takut-takutkan Yasmin yang mana katakan Yasmin kalau tidak menentang Bainun, boleh dikenakan penjara 20 tahun. Setuju? 


Yasmin: Tidak. 


Nur A'minahtul: Yasmin juga beri keterangan palsu kerana Yasmin dan ayah dibayar sepertimana disaksikan beberapa individu Jumaat lepas di luar mahkamah ini, wang daripada 'JusticeofBella' diberikan kepada ayah Yasmin. Setuju? 


Yasmin: Tidak. 


Nur A'minahtul turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa keterangan Yasmin yang mendakwa Bella dipancut dan dicurahkan dengan air panas hanyalah rekaan semata-mata berikutan mesin penapis air di rumah Siti Bainun rosak sejak Mac 2021. 


Nur A'minahtul: Setiap kali Yasmin cerita, Yasmin akan kata ambil air panas daripada Cuckoo. Betul?


Yasmin: Betul. 


Nur A'minahtul: Dan Yasmin juga cakap dalam keterangan pertama ambil daripada Cuckoo sebab sebut 'hot water', semasa pihak pembelaan mencadangkan mesin Cuckoo rosak, Yasmin jawab tidak pasti. Betul? 


Yasmin: Betul.


Nur A'minahtul: Soalan saya, Yasmin boleh ingat semua detail terperinci yang berlaku di kondo tersebut. Tetapi Yasmin tak ingat ke Cuckoo rosak? 


Yasmin: Cuckoo tak rosak. 


Nur A'minahtul: Ingat ke tak soalan saya? 


Yasmin: Tak ingat. 


Nur A'minahtul: Dan Cuckoo ini dah rosak sejak Mac 2021. Setuju atau tidak setuju? 


Yasmin: Tidak.


Nur A'minahtul: Tahu ke tidak tahu? 


Yasmin: Tidak tahu. 


Nur A'minahtul: Jadi, tidak wujud pun sebenarnya Cuckoo di rumah Siti Bainun dalam keadaan baik, tidak setuju atau tidak tahu?


Yasmin: Tidak setuju.


Menurut Nur A'minahtul lagi, kenyataan yasmin yang memaklum kepada mahkamah bahawa Bella diikat dengan tali dan dibaringkan sebelum dicurah air panas, diberi makan cili hampir setiap hari adalah pembohongan kepada mahkamah.


Ini kerana doktor hanya menemui dua kesan parut luka di kepala Bella. Tiada kesan tumpahan air panas, tiada kerosakan dalam perut atau melecur di lidah akibat makan makanan yang terlalu pedas. 


Dakwaan Bella dipaksa makan cili setiap hari juga tiada direkodkan dalam laporan dan keterangan kepada pihak polis. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo